Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ digesa luluskan dana sebaik mula tugas sebagai menteri kesihatan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dengan peningkatan kes Covid-19 di luar Lembah Klang, pelbagai jabatan negeri terdesak untuk meningkatkan kapasiti mereka tetapi kekurangan dana untuk berbuat demikian, kata Exco Pulau Pinang Chong Eng.

Justeru, Chong berkata antara perkara utama yang perlu dilakukan Khairy Jamaluddin, sebaik menjadi menteri kesihatan, adalah untuk mengeluarkan dana agar Jabatan Kesihatan Negeri dapat menampung peningkatan kes positif.

Khairy dijadual mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini. Kelulusan berkenaan perbelanjaan perlu ditandatangani menteri.

Sementara penularan di Lembah Klang dilihat kian stabil, Pulau Pinang serta Sabah, Sarawak, Johor, Kedah, Kelantan dan Perak kini menyaksikan peningkatan kes.

Chong memberikan Pejabat Kesihatan Seberang Perai Tengah sebagai contoh, yang mempunyai kapasiti untuk menghadapi 600 kes Covid-19 sehari tetapi kes di sana sehingga 800 sehari.

"Jika seorang pesakit ada tiga kontak rapat, seramai 2,400 orang perlu menjalani ujian saringan.

"Pejabat Kesihatan Daerah membuat yang terbaik untuk berdepan keadaan ini tanpa banyak sokongan daripada Kementerian Kesihatan.

"Lebih banyak kemudahan ujian dan pusat kuarantin risiko rendah diperlukan, tetapi ia bermakna wang perlu dibelanja - lebih dana diperlukan.

"Saya gesa Khairy untuk memberi tumpuan kepada permintaan yang dibuat jabatan negeri demi membantu mereka berdepan peningkatan kes positif," katanya lagi.

Chong Eng

Chong mengambil maklum ketika peringkat awal sekatan pergerakan, semua kes Covid-19 dihantar ke hospital dan pusat kuarantin dan semua kontak rapat perlu menjalani saringan.

"Kini, mereka yang positif diminta jalani kuarantin di rumah, bukan dihantar ke hospital atau pusat kuarantin.

"Perkara ini difahami kerana hospital berada dalam kapasiti penuh, atau melampaui kapasiti. Ini juga satu bentuk kompromi kerana hospital berdepan kesesakan pesakit dengan menggunakan sumber yang ada," kata wakil rakyat DAP itu lagi.

Bagaimanapun, dia berkata bukan semua orang tinggal di rumah yang sesuai untuk kuarantin.

"Oleh itu, ada keperluan untuk wujudkan lebih banyak pusat kuarantin bagi pesakit risiko rendah," katanya lagi.