'Pelantikan semula Noraini dapat selesaikan isu mahasiswa'
Pelantikan semula Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi dilihat mampu memberikan masa dan peluang kepada beliau untuk meneruskan dasar-dasar yang telah diperkenalkannya sebelum ini.
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyambut baik pelantikan semula itu bagi membolehkan segala perancangan berkaitan kebajikan mahasiswa serta mahasiswi diteruskan.
Yang Dipertua MPP UTM Wan Akmal Nazirah Wan Ubaidillah berkata pihaknya menyokong inisiatif Noraini dalam perkongsian pandangan mahasiswa menerusi perjumpaan serta mesyuarat bersama Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan KPT.
“KPT di bawah pentadbiran beliau juga telah mewujudkan inisiatif-inisiatif yang memfokuskan isu kebajikan mahasiswa seperti Ops Penghantaran Pelajar Pulang, Bantuan Pelan Data dan Peranti IPT (Institut Pengajian Tinggi) serta Diskaun Tiket Penerbangan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Baca: Kesatuan pelajar UM persoal Noraini dilantik semula menteri pengajian tinggi
Kenyataan MPP UPSI pula memaklumkan sesi libat urus yang dilaksanakan oleh Noraini bagi mendengar pandangan dan cadangan barisan kepimpinan pelajar IPT telah membawa kepada pelaksanaan bantuan kebajikan seperti Foodbank Siswa.
“Keprihatinan Datuk Seri dalam menangani masalah mahasiswa berkaitan isu pandemik COVID-19 dapat mengurangkan beban kami semua.
“MPP UPSI yakin dan percaya bahawa Datuk Seri dapat menyelesaikan isu yang timbul dalam kalangan mahasiswa,” menurut kenyataan itu.
MPP UMT dalam satu kenyataan turut berterima kasih kepada Noraini atas inisiatif pengurangan yuran mahasiswa yang dilaksanakan semasa pandemik COVID-19.
“Beliau telah menunjukkan kematangan dalam menempuh tempoh yang mencabar semasa menangani permasalahan mahasiswa di era pandemik COVID-19.
“Diharapkan dengan pelantikan semula YB Datuk Seri Dr Noraini dapat memberikan masa dan peluang kepada beliau untuk merealisasikan dasar serta perancangan KPT dalam menjaga kebajikan mahasiswa sekali gus meneruskan kecemerlangan mahasiswa dalam era norma baharu,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai