Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan panjangkan isu nama kerajaan baru, kata Annuar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Semua pihak perlu berhenti memanjangkan isu nama kerajaan baru di bawah pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Annuar berkata fokus kini perlu ditumpukan kepada usaha membantu rakyat dan mewujudkan kestabilan politik agar agenda kerajaan seperti Pelan Pemulihan Negara dapat diteruskan.

Katanya, semua pihak perlu faham bahawa kerajaan yang terbentuk sekarang adalah berasaskan permuafakatan ahli parlimen yang tidak mahu melihat ketidaktentuan politik dan kerajaan yang wujud sebelum ini berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

“Kalau kita biar negara terjebak dalam ketidaktentuan politik, politik yang berlarutan serta ketidaktentuan kerajaan, rakyat akan rugi.

“Sebab itu saya kata cara paling baik ialah tidak usah panjangkan tentang isu nama, kita tumpukan kerja kepada rakyat,” katanya ketika mengulas kenyataan beberapa pemimpin politik berbeza fahaman berkaitan nama kerajaan baru yang terbentuk ketika ini.

Ahli parlimen Ketereh itu berkata demikian kepada pemberita pada Malam Kasih Merdeka anjuran Rumah Prihatin@Hotel Grands Seasons sempena Hari Kebangsaan ke-64 di Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim.

-Bernama