Skip to main
Logo Malaysiakini

Semua Adun Perak diarah kuarantin kendiri lepas salah seorang positif

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Semua Adun Perak yang menghadiri persidangan dewan undangan negeri (DUN) pada hari Isnin lalu diarah menjalani kuarantin kendiri setelah salah satu daripada mereka diuji positif untuk Covid-19.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, berkata Adun itu, yang merupakan wakil dari kerajaan, disahkan positif selepas menjalani ujian Covid-19 RT-PCR.

Dia mengatakan Adun berkenaan membuat ujian Covid-19 setelah mula mengalami gejala seperti demam pada malam Isnin.

"Adun berkenaan disahkan positif melalui ujian PCR, dengan keputusan itu, semua yang terlibat pada Persidangan Dewan Negeri Isnin lalu telah diarahkan menjalani kuarantin diri bermula hari ini bagi tujuan keselamatan.

"Arahan ini termasuklah kepada Speaker, petugas Dewan dan semua pegawai khas ADUN yang berada dalam Dewan Negeri," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Ketua pembangkang negeri Perak, Abdul Aziz Bari juga mengesahkan bahawa semua Adun telah diarahkan untuk kuarantin kendiri, tetapi belum mendapat maklumat lebih lanjut mengenai perkara itu.

"Ya, memang benar, setakat yang saya tahu, semua (Adun perlu menjalani kuarantin kendiri), tetapi saya tidak pasti (berapa lama) kerana saya belum mempunyai maklumat lebih lanjut," katanya.

Persidangan DUN Perak berlangsung selama empat hari bermula 25 Ogos dan berakhir pada 30 Ogos.