Skip to main
Logo Malaysiakini

SSR kecam ugutan, gangguan seksual ke atas aktivis

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) mengecam ugutan, ancaman serta gangguan berbentuk seksual ke atas aktivis anak muda Shakila Zen, yang telah membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.

Menurut SSR, Shakila telah menerima satu bungkusan mengandungi surat ugutan akan disimbah asid serta satu replika tangan yang dipotong berlumuran darah pada 30 Ogos.

Pada hari berikutnya, dia menerima satu pesanan teks di aplikasi Whatsapp yang berbaur seksual beserta dengan gambar tentang satu sebaran poster yang tidak senonoh mengandungi maklumat peribadi dirinya.

“Shakila berpendapat gangguan dan ancaman ini adalah berikutan dengan video ulasan beliau berkenaan himpunan #Lawan pada 31 Julai yang tular di aplikasi Tiktok.

“Walaupun beliau bukanlah sebahagian daripada sekretariat namun tindakan mengugut, mengancam dan gangguan berbaur seksual ini adalah tindakan yang melampau sama sekali dan tidak boleh diterima,” kata SSR dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut SSR, tindakan yang melampau ini sama sekali dan tidak boleh diterima.

“Taktik ugutan dengan tujuan menakut-nakutkan mereka yang bersuara adalah satu perbuatan jenayah, dan gangguan seksual yang disasarkan kepada aktivis wanita terutamanya harus dikecam oleh semua pihak.

“Kami memandang serius perkara ini dan ianya boleh menjadi satu budaya kebiasaan yang merbahaya sekiranya terus dibiarkan,” kata SSR, sambil menambah bahawa mereka akan tetap bersolidariti bersama dengan Shakila.

Shakila telah membuat dua laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Mohd Khairi Shafie memberitahu Malaysiakini bahawa kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.