Pulau Pinang lulus RUU umur 18 tahun jadi calon Adun
Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 mengenai penurunan had umur calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan negeri Soon Lip Chee ketika membentangkan RUU itu berkata berikutan perkembangan sosial dan demokrasi di seluruh dunia, golongan belia Pulau Pinang terdorong untuk turut diberi hak menjadi calon Adun seawal usia 18 tahun.
"Penglibatan golongan muda dalam pembangunan sosial dan politik di Pulau Pinang dan negara adalah amat diperlukan. Mereka perlu diberi peluang untuk memainkan peranan yang kritikal dalam dasar-dasar kerajaan memandangkan mereka merupakan generasi yang bakal menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.
"Langkah ini mampu memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya," katanya.
Soon berkata kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) juga akan berusaha menganjurkan lebih banyak program yang boleh meningkatkan kesedaran tentang isu sivik dan demokrasi, supaya golongan muda yang berminat dalam politik dapat menyediakan diri menghadapi cabaran menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.
"Mereka juga perlu diberi peluang dan platform yang optimum untuk meningkatkan kesedaran politik serta menitikberatkan pandangan dan suara golongan ini," katanya.
RUU itu diluluskan dengan mendapat sokongan 40 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang selepas dibahaskan oleh enam Adun masing-masing empat dari blok kerajaan dan dua pembangkang.
Berikutan keputusan itu, Pulau Pinang menjadi negeri ketujuh yang meminda perlembagaan negeri bagi tujuan sama iaitu selepas Sabah (Disember 2019); Perlis (Mei 2020); Terengganu (Ogos 2020); Sarawak (November 2020); Kelantan (Disember 2020) dan Perak pada Julai lepas.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai