Skip to main
Logo Malaysiakini

Hadi, Tiong dan Riot kekal jadi duta khas bertaraf menteri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan Malaysia bersetuju mengekalkan tiga pemimpin parti politik negara sebagai duta khas perdana menteri seperti yang ditetapkan perdana menteri terdahulu, Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata persetujuan tersebut dicapai melalui mesyuarat pertama kabinet pada 1 Sept.

Tiga pemimpin parti politik terbabit ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tiong King Sing dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak Richard Riot Jaem.

Abdul Hadi merupakan ahli parlimen Marang yang diberikan kedudukan duta khas perdana menteri ke Timur Tengah, manakala Tiong (Bintulu) ke China, manakala Riot (Serian) ke Asia Timur. 

Pelantikan ketiga-tiga ahli parlimen terbabit dibuat selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri kelapan Malaysia pada tahun lalu.

Ia mendapat kritikan hebat sesetengah pihak terutama pembangkang serta pertubuhan sivil kerana dianggap sebagai sebahagian daripada dasar scheme of things Muhyiddin untuk menghargai sokongan parti tertentu kepadanya dan memastikan ia kekal bertahan lama.

Pada masa sama sesetengah pihak kurang senang dengan pelantikan berkenaan kerana dilihat tidak memberi sebarang kesan signifikan kepada pembangunan negara.

Dengan kedudukan mereka setaraf menteri, orang awam serta pembangkang turut mempersoalkan kewajaran Putrajaya membelanjakan peruntukan besar bagi jawatan tersebut.

Untuk rekod Muhyiddin meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri pada 16 Ogos lalu dan tempatnya diganti Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Antara tokoh yang berpendapat Putrajaya tidak memerlukan ahli politik dilantik menjadi duta khas perdana menteri ialah anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, yang menganggap ia sebagai suatu pembaziran dana kerajaan. 

"Lagi pun apa peranan dan bidang kuasa mereka kecuali dapat keistimewaan polis pengiring?" katanya pada 11 Julai lalu.

Untuk rekod semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat, gabungan itu turut melantik ahli politik menjadi duta khas.

Misalnya Pengerusi DAP, Tak Kok Wai, yang dilantik menjadi duta khas Malaysia ke China. Bagaimanapun pelantikan Tan itu tidak membawa jawatannya setaraf dengan menteri. 

Semasa zaman BN menjadi kerajaan, beberapa tokoh turut dilantik menjadi duta khas perdana menteri.

Misalnya bekas presiden MIC, S Samy Velly yang menjadi duta khas infrastruktur ke India dan Asia Selatan, bekas presiden MCA Ong Ka Ting (duta khas ke China) dan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar (duta khas ke China).