Skip to main
Logo Malaysiakini

Kesatuan mahasiswa UM bersolidariti bersama aktivis diugut

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam bersolidariti dengan aktivis alam sekitar Shakila Zen mengecam ugutan, ancaman serta gangguan berbentuk seksual yang bertujuan untuk menghentikannya daripada bersuara.

KMUM dalam satu kenyataan berkata ugutan dan ancaman itu tidak seharusnya berlaku kepada Shakila atau mana-mana wanita lain yang menggunakan kebebasan dan hak bersuara mereka di Malaysia.

"Perbuatan mengancam, mengintimidasi dan dengan unsur-unsur gangguan seksual sangat melampau dan tidak dapat diterima.

“Tindakan mengugut, mengancam dan gangguan berbaur seksual ini merupakan tindakan yang amat melampaui batas dan sukar untuk diterima.

“Taktik ugutan yang bertujuan untuk menakutkan pihak yang bersuara merupakan satu perbuatan jenayah, dan gangguan seksual yang disasarkan kepada aktivis wanita harus dibanteras oleh semua pihak di luar sana,” kata kesatuan itu.

Adalah dilaporkan semalam, bahawa Shakila, 29, telah menerima satu bungkusan mengandungi surat ugutan akan disimbah asid serta satu replika tangan yang dipotong berlumuran darah pada 30 Ogos.

Pada hari berikutnya, dia menerima satu pesanan teks di aplikasi Whatsapp yang berbaur seksual beserta dengan gambar tentang satu sebaran poster yang tidak senonoh mengandungi maklumat peribadi dirinya.

Gangguan dan ancaman itu dipercayai adalah berikutan dengan video ulasannya berkenaan himpunan #Lawan pada 31 Julai yang tular di aplikasi Tiktok.

Menurut KMUM, pihak kesatuan memandang serius perbuatan yang keji terhadap aktivis wanita seperti apa yang berlaku ke atas Shakila.

“(Ia) tidak sepatutnya menjadi norma di dalam masyarakat kerana ia akan menyekat kebebasan bersuara wanita.

“KMUM bersolidariti bersama Shakila,” kata kesatuan itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Shakila semalam mengakui bahawa dia trauma dengan ugutan dan ancaman itu dan sedang mempertimbangkan nasihat keluarganya agar tidak lagi terlibat dengan NGO dan aktivisme demi keselamatannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Mohd Khairi Shafie, berkata polis sedang mengesan seorang suspek yang melakukan ugutan jenayah tdan menghantar bungkusan tersebut ke rumah keluarga Shakila di Kampung Saim, Klang, Isnin lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.