Skip to main
Logo Malaysiakini

Jawatankuasa urus Covid-19 ‘dijenamakan semula’, libatkan pembangkang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 akan mula dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, jawatankuasa khas itu juga akan melibatkan wakil daripada parti pembangkang.

"Pendekatan ini merupakan salah satu usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika kemelut politik sebelum pelantikan Sabri sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong telah bertitah agar perdana menteri baru turut bekerjasama dengan pembangkang.

Sebaik saja menjadi perdana menteri, Ismail Sabri juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi PH, iaitu Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata hari ini Malaysia pertama kali mencatatkan kadar kebolehjangkitan, atau R-naught, di bawah 1.00 sejak beberapa bulan lalu.

Katanya lagi, purata kadar vaksinasi setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus populasi dewasa menjelang akhir bulan ini dan 100 peratus pada akhir Oktober ini.

"Rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia juga perlu bersedia untuk hidup bersama Covid-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

"Justeru, Kementerian Kesihatan diminta untuk membentangkan strategi baru pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata," katanya lagi.