Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes positif libatkan kanak-kanak, remaja naik 24 kali ganda

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sejumlah 310,074 orang kanak-kanak dan remaja berusia bawah 17 tahun dijangkiti Covid-19 antara Januari hingga Ogos tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Jumlah itu adalah 24 kali ganda berbanding jumlah kes melibatkan golongan itu pada 2020. Pada tahun lalu, hanya 12,620 kes yang dilaporkan.

Menurut statistik yang dikeluarkan KKM hari ini, jumlah kes tertinggi melibatkan kanak-kanak sekolah rendah (antara tujuh hingga 12 tahun), dengan 106, 823 kes telah dikenal pasti setakat 31 Ogos.

Pada tahun lalu, hanya 4,071 kes melibatkan kumpulan umur itu yang dilaporkan.

Kumpulan kedua tertinggi adalah kalangan berusia 13 hingga 17 tahun dengan 89,087 kes, berbanding 4,142 kes tahun lalu.

Selain itu, kes kematian akibat Covid-19 melibatkan remaja juga meningkat dengan besar, iaitu sebanyak 41 kematian sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini berbanding hanya enam kes pada tahun lalu.

Golongan remaja mencatatkan kematian tertinggi dengan 16 kes setakat ini, diikuti 15 kematian melibatkan bayi baru lahir sehingga usia empat tahun.

Malaysiakini telah meminta KKM mengulas lanjut berhubung kemungkinan punca peningkatan kes ini, terutama melibatkan kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun.

Walaupun proses vaksinasi yang bermula Februari telah menyebabkan jumlah kes Covid-19 yang serius berkurang, ia hanya melibatkan golongan dewasa dan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun masih belum divaksinasi atas faktor keselamatan.