Skip to main
Logo Malaysiakini

Vaksin lindungi individu dari gejala 'Long Covid' - kajian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Individu yang telah menerima dua dos vaksin kemungkinan besar tidak akan mengalami kesan jangka panjang Covid-19 berbanding individu yang tidak divaksinasi, walaupun mereka dijangkiti Covid-19.

Mereka yang divaksinasi sepenuhnya juga dapat mengurangkan risiko dijangkiti, menurut kajian yang dijalankan di United Kingdom.

"Kami mendapati bahawa kemungkinan mereka akan mengalami gejala selama 28 hari atau lebih selepas dijangkiti (Covid-19) kira-kira separuh dengan menerima dua dos vaksin (berbanding mereka yang tidak menerima vaksin),” menurut satu kertas kajian yang diterbitkan di The Lancet Infectious Diseases.

Penyelidik yang berpusat di UK dan Amerika Syarikat itu menganalisis data yang dikumpulkan dari pengguna aplikasi pengesanan gejala Covid-19 yang popular di UK, telah mendorong pengguna untuk melaporkan setiap hari, sama ada mereka mengalami salah satu daripada 32 gejala Covid-19 yang disenaraikan dalam aplikasi itu.

Risiko 'Long Covid' hampir separuh

Aplikasi itu juga digunakan untuk mengumpulkan data yang dilaporkan oleh pengguna lain seperti maklumat demografi mereka, hasil ujian Covid-19, status vaksinasi dan maklumat kesihatan.

Katanya, data yang dikumpul menunjukkan pengurangan sebanyak 49 peratus berbanding mereka yang tidak divaksin.

Ia dikategorikan mengikut ujian positif Covid-19, sama ada mereka merupakan petugas kesihatan dan jantina, indeks jisim badan mereka dan umur.

Jangkitan terhadap individu yang divaksinasi sepenuhnya kemungkinan besar tidak menunjukkan sebarang gejala, sementara hanya sebilangan kecil yang mengalami gejala dan sangat kurang memerlukan rawatan di hospital.

Bagaimanapun, kajian itu tidak melaporkan tindak balas gejala 'Long Covid'.

Ia juga tidak menyatakan varian Covid-19 yang terlibat.

Namun, kajian tersebut merangkumi jangkitan Covid-19 yang berlaku dari 8 Disember tahun lalu hingga 4 Julai tahun ini. Ini ketika varian Alpha pada mulanya dominan di UK, sebelum varian Delta muncul pada Mac tahun ini.

Tambah perlindungan, tetapi tidak kebal

Sebelum ini, beberapa kajian telah menunjukkan kemampuan vaksin dalam mencegah gejala Covid-19, termasuk kemasukan ke hospital dan kematian. Pada risiko yang lebih rendah, ia juga mencegah jangkitan Covid-19, termasuk yang tidak bergejala.

Satu kajian yang dijalankan oleh Imperial College London mendapati bahawa vaksin mengurangkan risiko jangkitan dari varian Delta yang paling senang dijangkiti sekitar 50 hingga 60 peratus, termasuk jangkitan tanpa gejala.

Walaupun dengan perlindungan sedemikian, satu kajian di sebuah hospital Israel pada Julai mendapati mereka yang mendapat vaksinasi lengkap masih boleh mendapat kesan jangka panjang Covid-19.

Daripada 39 kes di kalangan petugas hospital, tujuh daripadanya melaporkan gejala berpanjangan, termasuk kehilangan deria bau, batuk berterusan, keletihan, rasa lemah, kesukaran bernafas dan sakit-sakit otot.

Sembilan daripadanya mengambil cuti dari tempat kerja melebihi 10 hari yang diperlukan untuk kuarantin, di mana empat daripadanya kembali bekerja dalam masa dua minggu. Manakala seorang lagi tidak hadir kerja selepas enam minggu.

Kajian ini telah memberikan beberapa pandangan awal dalam kajian akademik mengenai kesan jangka panjang Covid dalam kalangan individu yang mendapat vaksinasi penuh.

Berbeza dengan kajian terbaru dari UK, kajian Israel tidak dapat menilai sama ada vaksin dapat mengurangkan risiko Long Covid.