Skip to main
Logo Malaysiakini

Ajaran sesat PMYT: Polis ambil keterangan Sittah Annur

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis telah mengambil keterangan seorang wanita bergelar Sittah Annur yang dikaitkan dengan ajaran didakwa bertentangan dengan Islam, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), semalam.

Menurut sumber, sepasukan polis mengambil keterangan Sittah Annur di rumahnya di Selangor.

"Selain Sittah Annur, suami bersama pengikut rapat wanita itu turut dirakam percakapan bagi meneliti pelbagai dakwaan yang dibuat," katanya kepada Bernama.

Namun, sumber berkata, tindakan Sittah Annur didakwa menimbulkan kegusaran umum serta mengganggu-gugat ketenteraman awam, dan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang berkaitan.

Setakat ini, katanya, perhubungan wanita itu dengan pengikutnya dipercayai adalah secara maya (melalui media sosial) tanpa pertemuan bersemuka.

Katanya, polis juga telah mengenal pasti identiti sebenar Sittah Annur dan sedang memantau pergerakannya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai seorang wanita bergelar Sittah Annur dikaitkan dengan PMYT dan mendakwa akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Wanita itu juga mendakwa dirinya memiliki keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa akan berlaku pada masa depan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, dilaporkan berkata isu serta kegiatan wanita itu masih dalam kawalan, dan PDRM tidak boleh terburu-buru bertindak kerana perlu mengumpul maklumat lengkap dalam siasatan dengan turut membabitkan jabatan lain, termasuk jabatan agama Islam.

- Bernama