Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak Najib rekod perintah persetujuan bayar tunggakan cukai

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anak bekas perdana menteri Najib Abdul Razak, Mohamad Nizar, telah merekodkan perintah persetujuan dengan Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) berhubung pembayaran tunggakan cukai.

Oleh itu, ahli perniagaan itu hari ini akan menarik semula rayuan berkaitan di Mahkamah Rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus dalam tuntutan saman cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri terhadapnya sebanyak RM13.1 juta.

Peguam Nizar, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pagi tadi, Mahkamah Rayuan di Putrajaya, telah menetapkan tarikh pengurusan kes dalam talian berhubung rayuan Nizar untuk membatalkan penghakiman terus terhadap saman cukai itu.

Pada 11 Ogos tahun lalu, Nizar mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Ogos tahun yang sama, yang memungkinkan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Nizar.

Penghakiman terus ialah di mana mahkamah memutuskan sesuatu kes didengar melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Julie Lack Abdullah memutuskan bahawa isu yang dibangkitkan oleh Nizar tidak ada manfaat dan tidak berasas, dan juga pembayar cukai perlu membayar cukai terlebih dahulu tanpa mengambil kira rasa tidak puas hari berhubung jumlah tersebut atau memberikan alasan.

Pada 31 Mei, dilaporkan bahawa Nizar telah bersetuju untuk melangsaikan tunggakan cukainya dengan LHDB bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017. Ia juga dilaporkan bahawa dia akan merekod perintah persetujuan dengan SCIT pada 4 Ogos.

Farhan berkata pasukan undang-undang Nizar bersedia untuk memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan ketika pengurusan kes hari ini mengenai perkara itu dan berhasrat untuk menarik balik rayuan tersebut.

"Ya, dia (Nizar) telah merekodkan perintah persetujuannya, dan kami akan menarik balik permohonan kami hari ini, dan memaklumkan kepada mahkamah," kata Farhan.

Ketika ditanya mengenai jumlah bayaran yang telah dipersetujui oleh Nizar dan SCIT, Farhan berkata dia tidak dibenarkan mendedahkan jumlah tersebut tanpa mendapat kebenaran khusus dari kedua-dua pihak itu.

"Jumlahnya jauh lebih rendah daripada asal (jumlah saman cukai RM13 juta)," kata Farhan.

Di bawah amalan perundangan, jumlah yang perlu dilangsaikan antara pembayar cukai dan LHDN dalam tindakan undang-undang tidak didedahkan kepada umum.

Pada 24 Julai 2019, LHDN telah memfailkan surat perintah saman terhadap Nizar, yang mengarahkannya untuk membayar sebanyak RM13,159,821,94 sepanjang tempoh tahun 2011 hingga 2017.

Selain Nizar, Najib dan anak lelakinya Mohd Nazifuddin turut dikenakan saman cukai yang masing-masing sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.