Skip to main
Logo Malaysiakini

PH Selangor: Kabinet negeri bincang semula isu nyah warta hutan simpan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) Selangor mendesak kabinet negeri untuk membincangkan sekali lagi keputusan kontroversi menyah warta separuh daripada Hutan Simpan Kuala Langat (Utara).

Amirudin Shari adalah pengerusi PH negeri dan menteri besar.

"Pengerusi parti-parti komponen PH Selangor telah bertemu pagi ini bagi membincangkan isu berkaitan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

"Semua pihak telah menyatakan pandangan dan keprihatinan masing-masing serta telah bersetuju supaya menteri besar membawa isu ini dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu 8 September 2021 untuk dipertimbangkan halatuju dan keputusan dalam isu ini," kata kenyataan media yang ditandatangani oleh Amirudin mewakili PKR, Gobind Singh Deo mewakili DAP dan Izham Hashim mewakili Amanah.

Langkah itu berlaku setelah kritikan meluas terhadap penyahwartaan itu dari kumpulan alam sekitar dan ahli parlimen.

Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelumnya memanggil Amirudin untuk menjelaskan keputusan tersebut dan menteri besar itu dikatakan telah bersetuju untuk "menangguhkan" penyahwartaan itu.

Namun, Amiruddin masih belum tampil untuk mengesahkan penangguhan itu secara peribadi.

Pada hari Isnin minggu ini (30 Ogos), dewan perundangan Selangor mendengar bahawa negeri itu telah menyah warta 54 peratus (536.7 hektar) hutan simpan itu tiga bulan sebelumnya pada 5 Mei.

Ini bersamaan dengan ukuran 751 padang bola.

Dari kawasan itu, syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd akan diberi 494.7 hektar untuk projek pembangunan campuran.

Sementara itu, PH Selangor juga menyatakan bantahan terhadap cadangan projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

"Pada masa yang sama, bantahan terhadap cadangan lebuhraya PJD Link turut diberi perhatian dan dibincangkan dengan panjang lebar.

"PH Selangor ambil maklum bahawa PJD Link belum diluluskan oleh kerajaan negeri.

"Mesyuarat juga turut bersetuju menolak sebarang usaha untuk menghidupkan semula projek Lebuh Raya Kidex atau seumpama dengannya," kata mereka lagi.

Ketiga-tiga pemimpin itu menekankan bahawa pembangunan negara harus dipandu oleh prinsip-prinsip PH mengenai alam sekitar dan menghormati keprihatinan rakyat.

Izham, yang berada dalam kabinet negerii, sebelumnya memberitahu dewan undangan negeri Selangor bahwa kerajaan negeri telah "bersetuju secara prinsip" untuk menetapkan syarat pelaksanaan PJD Link.

Keputusan ini dibuat pada 30 September 2020, dan baru dinyatakan minggu ini sebagai jawapan atas pertanyaan dari Adun Bukit Gasing, R Rajiv.

Kerajaan negeri juga telah dikritik berhubung perkara itu.