Skip to main
Logo Malaysiakini

Pertandingan video Orang Asli hilangkan ketakutan pada vaksin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Satu pertandingan video dalam talian mengenai kebaikan vaksinasi diadakan untuk meyakinkan Orang Asli bagi melindungi diri mereka daripada jangkitan Covid-19.

Pertandingan yang bermula dari 15 hingga 31 Ogos itu dianjurkan bersama oleh Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Hospital Orang Asli Gombak (HOAG) dan Pasukan Poster Covid Bahasa Orang Asli Universiti Malaya (UM).

Pemenangnya, yang akan diumumkan pada Ahad ini berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM1,500.

Pertandingan ini menarik 30 penyertaan dari Selangor, Pahang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan.

Salah satu penyertaan dalam pertandingan itu menunjukkan dua wanita dari kampung Mah Meri Selangor saling mengingatkan orang ramai untuk memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Dalam video lain, tiga remaja Orang Asli dari Kuala Rompin, Pahang meminta Orang Asli agar tidak takut menerima vaksin, yang membolehkan mereka makan di kedai makan.

Penganjur menampilkan beberapa video tular sebagai contoh bagi para peserta. 

Pengguna Tik Tok, Ervi J menyamakan vaksin dengan memakai tali pinggang keledar ketika memandu, mengambil pil perancang atau memakai baju kalis peluru.

Salah seorang penganjur, Rusaslina Idrus, seorang pensyarah kanan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya - berkata Pasukan Poster Covid Bahasa Orang Asli UM merancang untuk menghasilkan pelbagai poster mengenai kepentingan vaksinasi dan mematuhi SOP Covid-19.

Namun menyedari kempen itu ia terbatas, kaedah lain digunakan.

"Masyarakat Orang Asli telah menghasilkan video-video ini. Saya telah melihat video mereka yang merayu hak mereka (untuk dilindungi).

“Tambahan pula,  anak muda Orang Asli menyukai TikTok. Oleh itu, kami terfikir untuk menggunakan format yang lebih interaktif. Tetapi daripada kami yang hasilkan video, lebih baik mereka melakukannya, ”katanya kepada Malaysiakini.

Peserta dibenarkan menggunakan bahasa ibunda atau Bahasa Malaysia dengan rakaman video yang dihasilkan tidak boleh melebihi 60 saat. 

Sebahagian peserta bertutur dalam dialek Mahmeri, Semai, Semelai dan Temuan.

Rusalina juga kesal apabila masyarakat Orang Asli digambarkan secara negatif, memetik laporan yang menggambarkan mereka sebagai antivaksin atau melarikan diri ke dalam hutan untuk mengelakkan Covid-19.

Dia berkata laporan seumpama itu memberi gambaran bahawa Orang Asli mendatangkan masalah yang perlu ditangani.

Pihak berkuasa, tambahnya, menggunakan "pendekatan dari atas ke bawah" ketika menangani isu berkaitan Orang Ali, dengan menganggap masyarakat itu tidak memiliki status yang sama dalam membuat keputusan.

Rusalina berkata inilah sebabnya pertandingan menggunakan tanda pagar #oalawancovid itu dianjurkan bagi menunjukkan bahawa masyarakat itu juga memainkan peranan penting dalam kesihatan awam.

“Kami berharap dapat mengubah wacana untuk masyarakat dan Orang Asli bagi menunjukkan bahawa masyarakat ini adalah rakan dalam isu kesihatan awam.

"Menangani wabak ini memerlukan masyarakat ini terlibat dalam penyelesaiannya. Mereka bukan masalah, mereka adalah penyelesaiannya, ”tambahnya.

Rusaslina berkata ramai daripada mereka takut mendapatkan vaksin Covid-19 kerana kekurangan maklumat dan bukan kerana mereka antivaksin.

Katanya, pihak berkuasa tidak berunding dengan mereka dalam membuat keputusan, yang mengakibatkan kurangnya keyakinan mereka.

Rusalina berkata, daripada memberikan tekanan atau menganggap mereka sebagai jahil, pihak berkuasa perlu meneliti kebimbangan mereka dan memberikan penjelasan yang sewajarnya.