Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes kematian Thava: Peguam dakwa ketua polis Perak 'tersalah arah'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid didakwa 'tersalah arah' (misdirection) apabila memetik Perkara 7 (2) Perlembagaan Persekutuan dalam menjelaskan mengapa polis tidak dapat menahan semula suspek dalam kematian S Thava Sagayam.

Mior juga memaklumkan tuduhan lebih berat akan dikemukakan di mahkamah.

Pun begitu, empat orang peguam berpendapat Perkara 7 (2) hanya terpakai jika tertuduh telah dibebaskan atau dihukum dan, oleh sebab itu, tidak dapat didakwa lagi atas kesalahan yang sama.

"Pendapat Mior tidak dapat dipertahan, salah dari segi undang-undang dan bersamaan dengan misdirection," kata peguam berkenaan.

Keempat peguam itu ialah M Kula Segaran, A Sivanesan, Omar Kutty dan Selvam Nadarajah. Kula Segaran juga ahli parlimen Ipoh Barat manakala Sivanesan pula Adun Sungkai.

Mereka berpendapat suspek - Noor Azhar Muhammad - didakwa pada bulan Januari kerana menyebabkan kecederaan yang teruk dan kes itu belum diselesaikan.

Sekiranya polis menyiasat perkara tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, keempat-empat peguam tersebut berpendapat Noor Azhar secara undang-undangnya tidak dibenarkan diikat jamin.

Mereka berhujah memandangkan Noor Azhar didakwa atas kesalahan yang dapat dijamin, mereka memberi amaran suspek berisiko meloloskan diri daripada perbicaraan.

Sehubungan dengan itu, keempat-empat peguam tersebut menggesa peguam negara untuk mempercepat pertuduhan membunuh terhadap Noor Azhar.

Thava Sagayam diserang pada 29 Disember tahun lalu ketika bertugas sebagai pengawal keselamatan.

Dia menghabiskan lapan bulan berikutnya untuk rawatan dan meninggal pada 28 Ogos.

Semalam, Mior, selain memetik Perkara 7 (2), berkata dia berharap pertuduhan yang lebih tinggi akan dikenakan terhadap Noor Azhar dan Peguam Negara akan mengeluarkan arahan tidak lama lagi.

“Tertuduh dijangka hadir ke mahkamah pada 9 Sept untuk sebutan kes tetapi kami juga melihat kepada pertuduhan lebih berat dikenakan kepadanya.

“Kami menunggu jawapan timbalan pendakwa raya,” jelas ketua polis negeri itu.

[Baca berita asal]