Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir Sabah: Warisan siap siaga, jangan ada keluarga putus makanan - Shafie

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Presiden Warisan Shafie Apdal mengarahkan semua pemimpin Warisan bersiap siaga dan menghulurkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan - terutama keluarga yang mungkin terputus bekalan makanan akibat banjir di Sabah.

Dianggarkan 65 kampung dibanjiri air di bahagian pantai barat Sabah kerana hujan lebat berterusan pada Jumaat.

"Selain dari masalah pengagihan vaksin yang masih lagi perlahan berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia, Sabah juga merupakan negeri berisiko dengan bencana banjir disebabkan oleh taburan hujan yang banyak sejak kebelakangan ini.

"Penduduk di kawasan-kawasan berisiko dengan kejadian banjir perlu sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan semasa supaya persediaan awal dapat dibuat.

"Saya telah mengarahkan semua pimpinan Warisan agar sentiasa membuka mata dan telinga, bantu mana yang mampu supaya jangan sampai ada keluarga yang terputus bekalan makanan asas,” kata Shafie pada hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Shafie mengunjungi lokasi kemalangan Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Jalan Kionsom Lama, Inanam Sabah sekitar jam 6 petang semalam. Sebuah video yang rakaman tragedi itu menjadi tular.

Kereta itu kemudian ditemui pagi ini pada pukul 7.20 pagi kira-kira 200 meter dari tempat ia dihanyutkan, menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah.

Mereka juga mendedahkan dua mangsa lelaki terlibat dalam kejadian itu iaitu pemandu kereta Simon Sanga Tupe, 68 tahun, dan penumpangnya, Juning, 30 tahun.

Malaysiakini difahamkan kedua-dua mangsa telah ditemui dan dihantar ke hospital berdekatan untuk bedah siasat.

Shafie mengunjungi tapak kejadian nahas itu sekitar jam 12 tengah hari ini, yang mana dia menyampaikan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa.

"Saya bersimpati dengan kejadian kereta jatuh ke dalam sungai akibat banjir kilat di Kampung Kionsom, Inanam pada sebelah petang semalam.

"Salam takziah diucapkan kepada keluarga mendiang Simon Sanga dan Juning di atas musibah yang menimpa ahli keluarga mereka,” katanya.