Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 200,000 remaja di S'wak layak dapat vaksin mulai minggu depan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kira-kira 240,000 remaja berumur 12 hingga 17 tahun di Sarawak layak menerima vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mulai minggu depan, menurut seorang pegawai negeri.

Ketua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Dr Sim Kui Hian mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin atas sokongan kerajaan pusat terhadap usaha vaksinasi Sarawak.

"Terima kasih banyak YB KJ kerana sokong Sarawak (dalam) memberi vaksin kepada yang berusia 12-17 tahun mulai minggu depan.

"Sekali lagi, anda diberi jaminan oleh rakyat Sarawak dan semua agensi persekutuan dan negeri (akan) bersama memberi vaksin kepada 240,000 rakyat Sarawak," kata Sim.

Sim berkata mereka yang berumur antara 12 hingga 17 tahun merangkumi 10 peratus daripada jumlah penduduk Sarawak.

"Di Sarawak, kita harus memvaksinasi sebilangan besar penduduk Sarawak," kata Sim. 

Khairy dalam wawancara media baru-baru ini memberitahu rancangan kerajaan untuk melakukan vaksinasi kepada golongan remaja dalam tempoh 100 hari akan datang.

Katanya, Sarawak dipilih sebagai negeri pertama kerana mencapai penanda aras 80 peratus individu dewasa yang telah diberi vaksin.

Dia berkata, kerajaan juga menetapkan sasaran agar semua remaja melengkapkan vaksinasi mereka pada awal penggal persekolahan tahun depan.