Skip to main
Logo Malaysiakini

Jelaskan garis panduan lantik individu bertaraf menteri - Abim

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan memberikan penjelasan mengenai syarat dan garis panduan pelantikan individu bertaraf menteri.

Dalam satu kenyataan, Abim menzahirkan kebimbangan bahawa lantikan bertaraf menteri kini menjadi seolah-olah budaya baru politik di negara sejak tercetusnya 'Langkah Sheraton' tahun lalu.

"Justeru, Abim menggesa YAB Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia membentangkan garis panduan sebenar berhubung lantikan ini yang meliputi syarat keperluan, dasar kebertanggungjawaban & akaunatbiliti terhadap Parlimen, serta batasan lantikan agar pihak kerajaan bersifat jujur dan telus kepada rakyat sebelum sebarang lantikan dibuat," kata presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Dalam masa yang sama, katanya, mereka yang dilantik perlu memikul tanggungjawab yang termaktub dalam doktrin "Ministerial Responsibility" serta prinsip "Collective Responsibility" seperti yang wujud dalam Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam tempoh jangka panjang, Abim juga khuatir lantikan bertaraf menteri ini akan menjadi hadiah saguhati politik kepada mana-mana ahli parlimen yang menyokong seseorang menjadi perdana menteri dan pasti akan memberi kesan buruk kepada amalan demokrasi dalam negara," katanya,

Semalam kerajaan mengumumkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri setelah kem ahli parlimen yang diketuai Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadapnya, menyebabkan dia hilang majoriti.

Tempat Muhyiddin kemudian digantikan oleh Ismail Sabri Yaakob.

Selain Muhyiddin, kerajaan sebelum ini turut melantik semula beberapa duta khas bertaraf menteri.

Mereka ialah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Tiong King Sing dan Ahli Parlimen Serian, Richard Riot, yang masing-masing dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, China dan Asia Timur.

Langkah itu menerima banyak kritikan dan disifatkan sebagai satu pembaziran wang rakyat.