Skip to main
Logo Malaysiakini

Usah lupus cuti tahunan tak dihabiskan petugas barisan hadapan - Cuepacs

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) menggesa kerajaan tidak memansuhkan cuti tahunan 180,000 petugas barisan hadapan yang memberikan perkhidmatan penuh ketika pandemik Covid-19.

Presidennya Adnan Mat berkata sejak bermula perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu, cuti tahunan itu didapati tidak dapat dihabiskan dalam usaha mereka memastikan masyarakat mendapat imunisasi dengan cepat.

"Cuepacs mendapati ada cuti yang dibekukan tidak dapat dihabiskan, jadi kami mohon kerajaan supaya memberi pertimbangan cuti yang tidak dihabiskan semasa berhadapan pandemik.

"Kami memohon pertimbangan pihak kerajaan supaya cuti ini tidak dilupuskan dalam tempoh tiga tahun kepada lima tahun, malah hendaklah dipanjangkan pada masa tertentu sehinggalah mereka mampu mengambil cuti," katanya.

Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas program lawatan presiden Cuepacs ke pusat pemberian vaksin Awam Kota Bharu Dewan Sri Tunjong Jabatan Pendidikan Negeri melibatkan 1,030 penerima, di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan turut mencadangkan supaya pembayaran dibuat ke atas jumlah yang tidak dihabiskan sebagaimana pelaksanaan yang dibuat Singapura.

"Kami turut memohon supaya baki cuti ini dimasukkan dalam gantian cuti rehat selama 15 hari sebagaimana amalan biasa yang dilaksanakan sebelum ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnan memohon Kementerian Kewangan supaya Belanjawan 2022 yang dijadual untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Okt depan mengambil kira kewujudan Sistem Saraan Baru bagi mempertingkat sistem sedia ada.

"Sistem persaraan ini wujud setiap 10 tahun sekali, justeru amat penting kerajaan menyediakan sejumlah bajet untuk memenuhi tuntutan kepada kakitangan awam dan memenuhi kompenan dalam sistem persaraan baru.

"Sudah pasti sistem persaraan baru ini juga hendaklah melangkaui gaji minimum supaya dapat melepasi garis kemiskinan," katanya.

- Bernama