Skip to main
Logo Malaysiakini

Aktivis: Hentikan pembersihan hutan 'ganti' Kuala Langat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gabungan Perlindungan Hutan Selangor (CPSF) menggesa tindakan segera diambil terhadap Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berikutan kerja-kerja pembersihan di hutan paya gambut seluas 308 hektar di Hutan Simpan Sungai Panjang.

Kawasan tersebut sebelum ini diwartakan untuk "menggantikan" Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Perintah 'pemberhentian kerja' dikeluarkan awal tahun ini berikutan usaha pembersihan tanah di Hutan Simpan Sungai Panjang.

Cadangan pembangunan di HSKLU kembali menjadi perhatian selepas kerajaan Selangor mendedahkan bahawa ia telah menyahwartakan sebahagian daripada hutan simpan berkenaan.

Berikutan mendapat tentangan meluas, PKR memanggil Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk mendapatkan penjelasan.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, Amirudin bersetuju untuk "menangguhkan" penyahwartaan berkenaan. 

Bagaimanapun,  menteri besar itu masih belum tampil untuk mengesahkan perkara tersebut.

Pun begitu, Amirudin disahkan telah diberi mandat oleh Pakatan Harapan Selangor untuk membawa perkara itu kepada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada Rabu (8 Sept) untuk perbincangan lanjut.

Sementara itu, CPSF amat terkejut dengan kerja-kerja yang sedang dijalankan di Hutan Simpan Sungai Panjang walaupun terdapat arahan menghentikan kerja-kerja berkenaan.

"Untuk menjustifikasikan penyahwartaan tersebut, kerajaan negeri mendakwa HSKLU mengalami degradasi yang teruk sehingga ‘tiada lagi pokok-pokok tinggi yang tinggal.’

“Kerajaan negeri juga mengusulkan supaya kawasan yang dinyahwartakan itu diganti dengan mewartakan hutan simpan baru yang mempunyai ‘tanah yang sama atau lebih tinggi nilainya atau hutan yang lebih baik’,” kata CPSF dalam satu kenyataan hari ini.

Ia mengatakan Hutan Simpan Sungai Panjang - adalah hutan simpan terbesar yang terletak di tanah gambut di daerah Sabak Bernam kira-kira 100km dari HSKLU.

 Hutan simpan baru itu meliputi 308 hektar, kata gabungan itu.

Ia menambah maklumat dari kerajaan negeri menyatakan bahawa Hutan Simpan Sungai Panjang terdiri daripada hutan paya gambut yang bermutu tinggi.

Maklumat itu, kata mereka, ditunjukkan semasa sesi pendengaran awam mengenai isu tersebut di Pulau Carey pada 29 Sept tahun lalu.

Bagaimanapun, gabungan itu menegaskan bahawa penjelasan kerajaan negeri bahawa tiada lagi pokok-pokok yang tinggi di HSKLU adalah tidak tepat.

"Kawasan yang akan dinyahwartakan di HSKLU diliputi oleh pokok-pokok hutan yang tinggi, pelbagai jenis, pokok hutan hujan yang sangat penting untuk pemuliharaan dan mesti dipelihara.

"Tetapi sebaliknya PKPS, yang dipengerusikan oleh menteri besar, bukan hanya sekali, tetapi dua kali, semasa menjalankan projek pertanian, memusnahkan ke atas sebahagian hutan itu yang kini ditetapkan sebagai Hutan Simpan Sungai Panjang," katanya.

Menurut CPSF, syarikat itu kini menghadapi tindakan undang-undang oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana menebang hutan tanpa terlebih dahulu melakukan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Idris Shah semalam menafikan sebarang hubungan dengan pemaju yang mempunyai hak untuk membangunkan sebahagian HSKLU.

Hak tersebut kini dipegang oleh Gabungan Indah Sdn Bhd, sebuah syarikat yang kurang dikenali ditubuhkan pada Nov tahun lalu dengan modal berbayar sebanyak RM1.

Walaupun Tengku Amir tidak mempunyai hubungan dengan Gabungan Indah, raja muda itu terlibat dalam sebuah syarikat yang sebelum ini turut mencadangkan untuk memajukan HSKLU.

Tengku Amir pernah menjadi pengarah Titian Jutaria Sdn Bhd, yang bersama-sama dengan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) telah mencadangkan pembangunan di hutan simpan itu awal tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat berkenaan kini kelihatan seperti tidak terlibat dengan rancangan pembangunan semasa hutan simpan itu.

HSKLU merupakan hutan paya gambut yang diiktiraf sebagai habitat flora dan fauna terancam, termasuk beruang matahari Malaya, ikan laga merah Langat, tupai terbang terkecil Selangor dan pohon meranti.

Ia juga merupakan sumber mata pencarian dan makanan bagi Orang Asli Temuan di sekitarnya.