KATA MP | Dunia perlu bantu Afghanistan yang baru
KATA MP | Dalam banyak negara yang wujud di dunia ini, Afghanistan adalah antara tempat yang kerap bergolak sejak dari zaman "Alexander the Great".
Selepas Nabi Muhammad SAW menyebarkan Islam, Afghanistan dan kawasan persekitaran yang dahulunya dikenali sebagai bumi Khurasan yang kerap disebut oleh para ulama serta guru-guru kita dahulu, masih mewarisi peperangan demi peperangan.
Kesatuan Soviet (USSR) yang berfahaman komunis menceroboh dan menguasai Afghanistan pada tahun-tahun dari 1979 sehingga akhir tahun 1980an.
Ketika itu, Amerika Syarikat dan blok bukan komunis memberikan sokongan terhadap penentangan kepada USSR.
Pada akhir tahun 90-an Afghanistan telah dikuasai oleh Taliban sehinggalah berlakunya tragedi 9/11 pada tahun 2001 apabila pesawat-pesawat penumpang melanggar bangunan World Trade Center (WTC) di New York dan Pentagon.
Amerika Syarikat mula menyerang Afghanistan dengan alasan rantau tersebut adalah sarang utama pengganas.
Keadaan politik dalaman Afghanistan yang tidak menyatukan para pemimpinnya telah diambil kesempatan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya untuk terus menceroboh Afghanistan.
AS dan NATO sebenarnya tidak menunjukkan usaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan demokrasi serta mendidik rakyat Afghanistan untuk benar-benar merdeka, bebas dan berdikari.
Amerika membelanjakan beberapa trilion USD keperluan-keperluan tentera bagi peperangan yang panjang yang memusnahkan di Afghanistan tetapi tidak membangun infrastruktur dan kemudahan rakyat Afghanistan.
Kebencian kepada kuasa asing bukan Islam seperti AS dan Soviet menyebabkan lahirnya pemikiran yang ekstrim sebelum ini di Afghanistan.
Al-Qaeda yang diasaskan oleh Osama Ben Laden mengambil pendekatan kekerasan terhadap Barat dan bukan Islam, sementara Daesh / ISIS pula keras terhadap Muslim lain yang tidak tidak sehaluan dengan mereka dan mengamalkan takfiri.
Keadaan ini tidak memberi ruang untuk pemikiran islah dan perubahan, membina, memulih dan menanam benih-benih pendidikan serta memajukan ekonomi yang dianjurkan Islam. Mutakhir ini ada usaha perbincangan antara pemimpin-pemimpin Afghanistan termasuk yang berlangsung di Qatar.
Bagaimanapun Taliban amat berbeza dengan al-Qaeda dan Daesh. Dunia menaruh harapan kepada kumpulan Taliban yang lebih sederhana seperti mana yang diumumkan oleh pemimpin mereka baru-baru ini untuk lebih inklusif dalam dalam keaggotaan dalam pentadbiran negara mereka.
Afghanistan pasca pengunduran AS diharapkan dapat membetulkan agenda perjuangan mereka dengan membina imej baru, berfikiran yang lebih rahmah, memahami erti syariat Islam dengan pendekatan wasatiyah, pembinaan hadharah dan melaksanakan maqasid syariah.
Malaysia boleh membantu dari segi sumbangan tenaga pakar dan sumber-sumber yang lain untuk pembangunan semula Afghanistan. Kita juga mengharapkan Afghanistan menjalinkan hubungan geopolitik dan geoekonomi dengan jiran-jirannya seperti Pakistan, Turkmenistan dan Tajikistan malahan dengan India dan Cina.
Kita wajar memastikan rantau Asia Tengah dan Asia Selatan kekal aman, tiada peperangan yang merugikan semua pihak serta dapat mengurus perbezaan dalaman sesama mereka demi keamanan rantau dan dunia,
Afghanistan yang baru bersama negara jiran yang hebat seperti Pakistan, Turkmenistan dan Tajikistan diyakini mampu menjadikan rantau itu makmur dan sejahtera, insya-Allah.
HASANUDDIN YUNUS Ialah Ahli Parlimen Hulu Langat.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai