Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam pertikai pandangan AG 'undi percaya PM tak perlu'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Beberapa peguam mempertikaikan hujah Peguam Negara Idrus Harun bahawa tiada keperluan mengadakan undi percaya di parlimen kerana Yang di-Pertuan Agong telah melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Para peguam berkenaan memetik Perkara 43 (2) dan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri, serta tugas perdana menteri yang dilantik untuk mengundurkan diri setelah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Peguam Andrew Khoo berkata pandangan Idrus bahawa undi percaya akan melemahkan kuasa Agong adalah "ketinggalan zaman dan salah (misguided)."

"Fungsi Agong di bawah perlembagaan untuk melantik perdana menteri, tetapi itu bukan keputusan yang tidak dipersoalkan dan tidak dapat dicabar," kata Khoo kepada Malaysiakini.

"Kita tidak lagi hidup di era pemerintahan raja mutlak, yang mana perintah dan suruhannya wajib dipatuhi dengan hukuman jika derhaka atau kematian.

"Oleh itu dalam peruntukan perlembagaan yang sama yang memberi kuasa kepada Agong untuk melantik perdana menteri adalah pengakuan bahawa kekuatan sebenar sistem raja berperlembagaan adalah rakyat, atau dalam hal ini, wakil rakyat," katanya.

Dari kiri peguam Malik Imtiaz, Karen Cheah dan Andrew Khoo.

Bertentangan dengan pandangan Idrus, Khoo berkata ketika ini politik yang tiada jaminan dan sokongan yang tidak menentu menuntut pelantikan perdana menteri akhirnya diuji di parlimen.

Khoo, yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Majlis Peguam, menunjukkan wakil rakyat masih dibenarkan mengubah fikiran berdasarkan perkembangan yang lebih baru berikutan pelantikan Ismail Sabri.

"Mereka mungkin tidak suka apa yang dikatakan dan dilakukan oleh PM. Mereka mungkin tidak setuju dengan pilihan menteri kabinetnya dan pelantikan lain.

"Jadi pada awal sesi parlimen yang baru, biarkan semua ahli parlimen menyatakan secara terbuka di mana pendirian mereka," katanya.

Peguam Haniff Khatri Abdulla juga membidas hujah Idrus sebagai "tidak tepat dan khilaf" dalam menafsirkan Perkara 43 (2) dan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya dua peruntukan perlembagaan itu "saling kait-mengait, sokong-menyokong dan tidak mengatasi satu dengan yang lain."

"Adalah jelas bahawa Kenyataan Peguam Negara Idrus Harun itu, tidak menampilkan fahaman sebenar dalam hubungan kait-mengait dan sokong-menyokong kedua-dua peruntukan Perkara 43(2) dan Perkara 43 (4) itu, sehingga disalah tafsir oleh Idrus Harun seolah-olah usul undi percaya mahupun usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat di bawah Perkara 43(4) kononnya menggugat kuasa Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong," kata Haniff pada satu kenyataan.

Gambar fail, peguam Haniff Khatri.

Dalam situasi seorang perdana menteri dilantik sebagai pengganti pada pertengahan masa penggal pilihan raya, Haniff berkata individu itu akan terikat dengan konvensyen parlimen untuk mengemukakan usul undi percaya.

Haniff juga mengingatkan bahawa langkah itu dilakukan oleh dua bekas perdana menteri - Hussein Onn dan Abdullah Ahmad Badawi - yang menggantikan perdana menteri terdahulu daripadanya, Abdul Razak Hussein dan Dr Mahathir Mohamad.

Dalam mempertikaikan Idrus, Khoo dan Haniff juga memetik keputusan Agong pada 18 Ogos perdana menteri baru mesti mengusulkan undi percaya secepat mungkin.

"Tentunya AG tidak menyarankan bahawa proses yang dilakukan Agong untuk menentukan pilihannya harus dengan cara apa pun menggantikan atau mengatasi undi percaya di Dewan Rakyat itu sendiri.

"Bahkan Agong tidak berpandangan begitu," kata Khoo.

Begitu juga, peguam Karen Cheah berkata dia tidak setuju dengan pandangan Idrus, berdasarkan keputusan Agong.

"Penilaian yang diambil oleh Agong sebelum pelantikan perdana menteri yang membawa kepada keputusan perdana menteri ketika ini mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, perlu diuji dan direkod secara demokratik di parlimen.

"Komunikasi antara Agong dan anggota parlimen sama ada melalui akuan berkanun atau pengakuan secara lisan sebelum pelantikan perdana menteri adalah satu-satunya cara untuk menangani isu keyakinan," kata Cheah.

'Kesan tiada undi percaya'

Sementara itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar berkata pihak berkenaan perlu mempertimbangkan kesan undang-undang kerana tidak mengemukakan undi percaya.

"Kelihatannya, Ismail Sabri masih akan menjadi perdana menteri. Namun, hal ini membuatnya terbuka untuk pembangkang atau pihak lain untuk menyoal apakah majoriti anggota parlimen benar-benar mendukung perdana menteri," kata Malik.

"Situasi akan menjadi tidak stabil, sebagaimana ketika Muhyiddin (Yassin) menjadi perdana menteri," tambahnya.

Malik juga mengambil maklum Idrus telah dengan tepat menunjukkan bahawa tidak ada syarat berdasarkan perlembagaan supaya undi percaya dibuat selepas perdana menteri dilantik.

"Bagaimanapun, tidak ada yang secara nyata melarang Agong daripada meletakkan syarat agar undi percaya diadakan apabila sidang parlimen disambung semula supaya kerajaan terbukti stabil," katanya.

Sebelum mengundurkan diri, Muhyiddin berkata dia akan melakukan undi percaya di Dewan Rakyat bulan ini, setelah diberitahu lapan anggota parlimen Umno telah menarik sokongan mereka.

Muhyiddin meletakkan jawatan pada 16 Ogos setelah gagal mendapatkan sokongan rentas parti politik walaupun menawarkan senarai pembaharuan termasuk perkara yang memerlukan majoriti dua pertiga di parlimen.

Semalam, Muhyiddin kembali ke dalam pentadbiran kerajaan sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri mengundang pelbagai maklum balas.

[Baca laporan asal]