Skip to main
Logo Malaysiakini

Kesatuan mahasiswa UM gesa k'jaan tak tangguh Undi 18

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menggesa kerajaan melaksanakan penurunan had usia mengundi kepada 18 tahun susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching minggu lalu.

Dalam satu kenyataan, KMUM menegaskan bahawa usul Undi 18 tidak sepatutnya ditunda seperti sebelum ini.

"Penundaan tersebut boleh dikatakan sebagai suatu percubaan mala fide yang berniat untuk mengehadkan hak mengundi orang-orang muda.

"KMUM juga menegaskan bahawa Undi 18 adalah amat penting untuk memastikan hak-hak orang muda terus dipelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Malah, kelulusan usul Undi 18 ini juga dapat membawa kepada kepentingan politik dan negara," katanya.

Sehubungan dengan itu, KMUM menggesa kerajaan bertindak secara lebih profesional dan menghormati keputusan mahkamah untuk melaksanakan had umur minimum 18 tahun untuk para pengundi.

"Desakan ini penting kerana pihak kerajaan telah pun menunda penurunan umur pengundi dari bulan Julai tahun ini kepada bulan September 2022.

"Pihak KMUM amat menitikberatkan isu ini dan berharap akan berlakunya perubahan dengan kadar segera untuk melibatkan mahasiswa dan belia dalam urusan pentadbiran negara," jelasnya.

Dalam pada itu, KMUM juga menegaskan adalah tidak wajar sekiranya autonomi pelajar disekat oleh peruntukan di dalam Akta Universiti dan Kolej (Auku) apabila individu berumur 18 tahun dibenarkan mengundi.

"Oleh itu, kami menggesa agar pemansuhan AUKU dilaksanakan supaya dapat menjamin autonomi yang sepatutnya dinikmati oleh mahasiswa dan mahasiswi," tegasnya.

Pada 3 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan kerajaan Malaysia menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun di seluruh negara bermula 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya kehakiman Alexander Liew membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh lima anak muda yang menamakan diri mereka kumpulan Undi Sarawak untuk menggesa kerajaan persekutuan melaksanakan penurunan usia mengundi dari 21 kepada 18 tahun.