Skip to main
Logo Malaysiakini

MB Selangor diingatkan mengenai janji pilihan raya PH

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekumpulan penduduk Selangor yang menentang pembinaan projek Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) mengingatkan Pakatan Harapan berkenaan janji-janji yang dibuat manifesto pilihan raya umum ke-14 berhubung projek pembangunan lestari.

Kumpulan Say No To PJD Link berkata, kerajaan Selangor memungkiri janji dan gagal menunjukkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam cadangan pembangunan projek lebuh raya berkenaan, serta penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

"Oleh itu, kami menuntut agar menteri besar dan kerajaan negeri secara rasmi membatalkan penyahwartaan HSKLU dan membatalkan lebuh raya PJD Link.

"Sehingga dan kecuali jika ini dilakukan dan didokumentasikan secara rasmi dalam minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakyat Selangor akan terus memprotes kedua-dua rancangan itu.

"Oleh kerana PH telah berjanji dalam manifestonya bahawa semua projek pembangunan harus mematuhi standard perlindungan alam sekitar antarabangsa sebelum diberikan kelulusan, kini tanggungjawab kerajaan Selangor untuk menjelaskan atas dasar apa Gabungan Indah Sdn Bhd diberi hak membangunkan sebahagian HSKLU yang dinyahwartakan, "kata kumpulan itu.

Pada 30 Ogos, Exco Selangor Hee Loy Sian mengejutkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila mengatakan 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara telah dinyahwartakan tiga bulan lalu.

Susulan itu, kerajaan Selangor mendapat kritikan kerana  kelewatan mengumumkan perkara itu, kurang ketelusan dan melakukan penyahwartaan meskipun mendapat bantahan meluas.

"Berkenaan dengan PJD Link, kami ingatkan Menteri Besar Selangor, YAB Dato Seri Amirudin Shari dalam satu wawancara video dengan Malaysiakini pada Januari tahun ini, mengatakan bahawa 'tidak adil' untuk menyamakan KIDEX dengan PJD Link yang baru dicadangkan ' .

"Malah, dia tidak hanya mengatakan itu 'tidak adil', tapi 'pasti tidak adil'," kata mereka.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim sebelum ini mengesahkan bahawa majlis mesyuarat kerajaan negeri pada 30 Sept tahun lalu "bersetuju secara prinsip" terhadap cadangan projek PJD Link.

Kumpulan itu, bagaimanapun berkata keputusan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan projek lebuh raya yang serupa dengan Kidex itu amat membimbangkan.

"Ini bermaksud mana-mana pemaju yang cadangannya ditolak oleh kerajaan negeri dapat memohon kembali dengan harapan ia diluluskan.

"Rakyat merasa dikelirukan selepas pengakuan tersebut di dewan undangan negeri," kata mereka sambil menambah ia juga membazirkan sumber awam.

Say No To PJD Link juga mengingatkan PH mengenai kritikan gabungan itu terhadap kerajaan BN sebelum ini kerana membenarkan pembangunan dijalankan tanpa melindungi alam sekitar, flora dan fauna, serta 'mengikut arahan' syarikat besar.