Bekas timbalan menteri lapor polis, dakwa difitnah rasuah
Bekas timbalan menteri pertanian dan industri makanan, Che Abdullah Mat Nawi bertindak membuat laporan polis hari ini, berkata dirinya difitnah melakukan rasuah dan salah guna kuasa oleh satu akaun media sosial.
Laporan polis berkenaan telah dibuat sekitar jam 11 pagi tadi di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Tumpat apabila menyedari hantaran akaun media sosial berkenaan tular dalam talian semalam, pada 5 September.
Peguamnya, Muhammad Khairul Azwan Azhan berkata dakwaan pemilik akaun media sosial tersebut memburukkan nama baik Che Abdullah dan jenteranya.
"Yang berhormat datuk, menentang 'character assasination', 'witch hunting', 'trial by media', 'selective prosecution' dan 'prejudice' sebagaimana yang telah, sedang dan akan berlaku dengan fitnah yang tular di media sosial tersebut.
"Hal ini bertentangan dengan perlembagaan persekutuan Artikel 3,5,9,10 dan 11 yang mana menjamin kebebasan, kesamarataan dan jaminan baik innocent until proven guilty.
"Jadi, jelas sekali perbuatan ini adalah fitnah semata-mata serta boleh menjadi kesalahan jenayah, dan kes ini masih lagi dalam siasatan pihak polis dan belum lagi dapat dibuktikan sama ada YB Datuk bersalah atau tidak" katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Tumpat.
Khairul Azwan juga menyeru kepada semua pihak supaya berpolitik secara matang dan mendaulatkan undang-undang negara.
Sementara itu, Che Abdullah yang juga ahli parlimen Tumpat menegaskan dia telah menjalankan tugas mengikut tatacara perolehan kerajaan yang dikeluarkan oleh Perbendaharaan Negara.
"Saya menyokong ketelusan dan penyiasatan oleh pihak berkuasa berdasarkan perundangan Malaysia," katanya dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini itu.
Tambahnya, laporan polis berkenaan adalah sebagai laporan maklum pertama (FIR) bagi tujuan pihak berkuasa memulakan penyiasatan kesalahan fitnah jenayah yang bertujuan merosakkan nama baik dan jawatannya yang disandang sebagai ahli perlimen.
"Secara khususnya saya membuat laporan ini bagi menghentikan perbuatan penyebaran fitnah dan tomahan ke atas saya dan jentera pentadbiran kerajaan di bawah seliaan saya," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai