Skip to main
Logo Malaysiakini

Abang Azeez Rahim tuntut pembebasan penuh kes rasuah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Abdul Latif Abdul Rahim menuntut pembebasan penuh atas pertuduhan di mahkamah kerana bersubahat dengan adiknya yang juga merupakan bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez, untuk menerima rasuah yang berkaitan dengan projek pembinaan lebuh raya di Perak dan Kedah.

Pada 8 Februari, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memutuskan Abdul Latif dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan tersebut dengan menjadikannya saksi pendakwaan itu.

Pihak pendakwaan telah memohon DNAA supaya Latif dapat memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Azeez.

Bagaimanapun, peguam Latif, Jahaberdeen Mohamed Yunoos (gambar, bawah) dilaporkan berkata telah meminta mahkamah untuk melepaskan dan membebaskan anak guamnya daripada kedua-dua tuduhan itu. 

Ia adalah bertentangan dengan permohonan pihak pendakwaan untuk DNAA dalam kes tersebut.

Namun, perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram Azeez di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditangguhkan, sementara menunggu rayuan ahli parlimen Baling itu di Mahkamah Rayuan.

Rayuannya itu bertujuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac yang menolak permohonan Azeez untuk membatalkan tiga tuduhan rasuah dan 10 pengubahan wang haram terhadapnya.

Timbalan pendakwa raya Aslinda Ahad memberitahu Malaysiakini petang tadi bahawa Latif memfailkan rayuan itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari.

"Rayuan itu bertujuan untuk dapatkan pembebasan (penuh) (untuk Latif)," kata Aslinda.

DPP menjelaskan sebutan bagi permohonan rayuan Latif itu akan disebut di Mahkamah Tinggi awal hari ini.

Wakil firma guaman yang mewakili Latif dalam rayuan tersebut, Tetuan Jahaberdeen&Co, menjelaskan Latif sedang cuba untuk menggantikan keputusan DNAA dengan pembebasan penuh daripada dua tuduhan bersubahat tersebut di Mahkamah Tinggi.

Azeez, 54, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sepuluh pertuduhan pengubahan wang haram.

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong di Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abangnya, Latif, 63, didakwa atas dua pertuduhan bersubahat dengan Azeez yang didakwa menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

[Baca laporan asal]