Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tindakan hospital tolak pesakit Covid-19 tak kritikal boleh ancam nyawa'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Jawatankuasa DAP Johor mengingatkan yang tindakan hospital kerajaan enggan menerima pesakit Covid-19 yang kelihatan tidak begitu serius boleh mengancam nyawa.

Boo yang merupakan seorang pengamal perubatan mengongsikan kes seorang individu yang didapati positif setelah membuat ujian menggunakan kit ujian kendiri dan mengalami demam ringan selama seminggu dan sesak nafas.

Dia berkata, walaupun tahap oksigen dalam darah pesakit itu adalah normal iaitu 95 peratus, ia menurun kepada 92 peratus setelah dia membuat senaman ringan.

"Menurut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM), dia perlu dimasukkan ke hospital," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Boo juga mengongsikan X-ray pesakit itu yang menurutnya menunjukkan petanda pneumonia.

"Dia dirujuk ke hospital (tetapi) ditolak untuk masuk hospital walaupun didiagnosis dengan Covid-19 kategori 3 iaitu fasa pneumonia.

"Selepas itu, dia terpaksa dirawat doktor pakar di hospital swasta sebagai pesakit luar dengan Steroid dan Antibiotik," katanya lagi.

Dia memaklumkan pesakit itu kini dalam proses pemulihan setelah mendapat rawatan di hospital swasta sebagai pesakit luar.

Katanya, ia menunjukkan betapa pentingnya rawatan awal bagi mengelakkan keadaan pesakit memburuk dengan beralih ke Kategori 4 dan 5 yang kritikal.

Bagaimanapun, katanya lagi, ada pesakit lain yang kurang bernasib baik kerana tiada alternatif lain setelah tidak diterima untuk menerima rawatan di hospital kerajaan.

"Kes kematian sebelum tiba di hospital atau BID (brought-in-dead) pesakit semakin meningkat. Puncanya kegagalan sistem kesihatan negara memikul beban peningkatan kes Covid-19 yang mendadak.

"Ia termasuk (sesetengah hospital) menolak kes serius Kategori 3 yang mengalami pneumonia yang biasanya akan menuju ke Kategori 4 dan 5 dalam tempoh yang singkat," katanya lagi.

BID merujuk kepada pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sebelum menerima rawatan di hospital.

Semalam, hampir satu pertiga daripada 272 kes kematian Covid-19 - iaitu sebanyak 81 kes - melibatkan pesakit kategori itu.

"Diharapkan KKM akan menguatkuasakan garis panduan supaya semua kes Covid-19 Kategori 3 (pneumonia) dan yang mengalami 'happy hypoxia' (tahap oksigen yang rendah tanpa disedari) dirawat seawal mungkin di hospiital sebelum keadaan mereka menjadi lebih kritikal," katanya.

Untuk rekod, pesakit Kategori 1 tidak menunjukkan gejala manakala Kategori 2 dengan gejala ringan.

Pesakit Kategori 3 pula menunjukkan gejala lebih serius seperti pneumonia tetapi masih tidak memerlukan bantuan pernafasan. Pesakit Kategori 4 memerlukan bekalan oksigen manakala Kategori 5 memerlukan alat bantuan pernafasan.