Skip to main
Logo Malaysiakini

Veteran Umno cadang Najib diberi peranan dalam kerajaan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Veteran Umno menyarankan agar bekas perdana menteri Najib Razak turut diberi peranan dalam kerajaan, seperti Muhyiddin Yassin yang dilantik menjadi pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub, berkata atas semangat Keluarga Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pengalaman yang ada, Najib wajar diberi peranan.

"Sewajarnya Najib juga turut diberikan peranan dalam kerajaan untuk menyumbang kepada proses pemulihan negara akibat Covid-19.

"Keupayaan Najib terbukti khususnya dari segi dasar dan ekonomi sepanjang sembilan tahun mengemudi negara, pelbagai program bantuan kepada rakyat diperkenalkan.

"Mengambil semangat 'Keluarga Malaysia', Najib mahupun Tun Dr Mahathir Mohamad wajar diberikan peranan," katanya kepada Malaysiakini.

Mustapha Yaakub

Pada 4 September lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN sebagai mengharai peranannya sebelum ini.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Setiausa Negara Mohd Zuki Ali berkata ia dibuat atas dasar keyakinan terhadap kemampuan bekas perdana menteri itu untuk menerajui strategi pemulihan akibat kesan wabak Covid-19.

Muhyiddin pula berkata MPN akan membantu kerajaan melalui fasa pemulihan seperti yang telah digariskan.

Dalam pada itu Mustapha berkata bergantung kepada Muhyiddin sama ada untuk melibatkan Najib atau tidak dalam MPN.

"Saya kira tidak ada keperluan untuk kerajaan membentuk jawatankuasa baru.

"Namun, saya kira Najib perlu diberi peranan dan dia pasti akan menerimanya walaupun tanpa sebarang elaun," katanya lagi.