Skip to main
Logo Malaysiakini

'Nyah warta hutan Kuala Langat jejaskan sasaran kurangkan karbon intensiti'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan keputusan kontroversi kerajaan negeri Selangor berhubung penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Tuan Ibrahim turut menyokong Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KETSA), Takiyuddin Hassan yang tidak bersetuju dengan cadangan penyahwartaan hutan simpan itu oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu.

"Bagi KASA, pewartaan keluar HSKLU atau mana-mana hutan simpan yang ada di Malaysia akan menjejaskan sasaran 45 peratus pengurangan karbon intensiti (per KDNK) menjelang tahun 2030 di bawah Nationally Determined Contribution (NDC) negara yang dikemukakan kepada UNFCCC pada tahun 2021," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas kontroversi menyah warta separuh daripada Hutan Simpan Kuala Langat (Utara).

Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini memanggil Amirudin Shari untuk menjelaskan keputusan tersebut dan menteri besar Selangor itu dikatakan telah bersetuju untuk "menangguhkan" penyahwartaan itu.

Namun, Amiruddin masih belum tampil untuk mengesahkan penangguhan itu secara peribadi.

Pada hari Isnin minggu ini (30 Ogos), dewan perundangan Selangor mendengar bahawa negeri itu telah menyah warta 54 peratus (536.7 hektar) hutan simpan itu tiga bulan sebelumnya pada 5 Mei.

Ini bersamaan dengan ukuran 751 padang bola.

Dari kawasan itu, syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd akan diberi 494.7 hektar untuk projek pembangunan campuran.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata sehingga ke hari ini juga, masih tiada sebarang Laporan EIA dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung isu yang melibatkan cadangan pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kekal Sungai Panjang, Sabak Bernam.

"Sebarang keputusan sama ada kerja-kerja pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kekal Sungai Panjang, Sabak Bernam wajar diteruskan atau tidak adalah tertakluk kepada keputusan penilaian EIA," katanya, sambil menambah ia merupakan keperluan di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang dikuatkuasakan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Laporan EIA hendaklah disediakan oleh orang yang berkelayakan dan perlu menepati garis panduan yang ditetapkan oleh JAS.

Laporan EIA ini membolehkan penilaian terhadap impak ke atas kesan alam sekitar serta mencadangkan langkah yang perlu diambil untuk mencegah, mengurang atau mengawal kesan negatif terhadap alam sekitar dilakukan.

Tuan Ibrahim berkata pihaknya juga sedia memberikan konsultasi dan mengadakan sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi mencari jalan penyelesaian terbaik ke atas isu ini.

"Keutamaan KASA adalah untuk memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara lestari tanpa memberi impak yang negatif kepada alam sekitar," tambahnya.

Selain itu, Tuan Ibrahim menyasarkan sepuluh sasaran utama yang mesti dicapai dalam tempoh 100 hari kementeriannya, antaranya menggubal kerangka Undang-undang Perubahan Iklim Negara.

Katanya, pihaknya juga akan menggubal struktur asas Pusat Inventori GHG Negara, membangunkan rangka kerja skim perdagangan karbon domestik, melancarkan Malaysia Plastics Sustainability Roadmap dan melancarkan Green Jobs Portal bagi menjana peluang pekerjaan dalam sektor pertumbuhan ekonomi hijau.

Manakala bagi sektor air dan pembetungan, pihaknya akan membangunkan mekanisme penetapan tarif air yang adil dan telus, mensasarkan lima kawasan baharu bagi projek Wakaf Air, meluaskan penggunaan sumber air pulih guna untuk industri, meluaskan kawasan liputan bekalan air dan pembetungan serta meningkatkan kadar rizab margin air nasional.

[Laporan penuh menyusul]