Skip to main
Logo Malaysiakini

Tanpa undi percaya, perjanjian kerajaan dan pembangkang tergugat - Lim

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perjanjian kepercayaan dan perbekalan serta agenda reformasi antara kerajaan dan pembangkang berada dalam keadaan tidak menentu jika tiada undi percaya terhadap perdana menteri dikemukakan, kata Lim Kit Siang.

Anggota parlimen veteran DAP itu juga mempertikaikan penjelasan menteri undang-undang bahawa Yang di Pertuan Agong berkenan supaya undian itu tidak diadakan.

“Sekiranya Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong telah berubah fikiran dan bersetuju untuk tidak perlu adanya undi percaya di parlimen seperti yang didakwa oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen dan Undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengapakah perkara ini tidak dinyatakan dari awal lagi?

“Sebaliknya apa yang kita dapat adalah kenyataan luar biasa daripada Peguam Negara, Idris Harun, Sabtu lepas dengan hujah yang tidak masuk akal yang cuba mengatakan undi percaya ini merendah-rendahkan kuasa Yang di Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Wan Junaidi semalam berkata dia dimaklumkan dalam mesyuarat kabinet bahawa Agong berkenan agar undi percaya tidak dilaksanakan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, dia tidak melihat 114 anggota parlimen yang menyatakan sokongan terhadap Ismail kepada Agong baru-baru ini mengubah pendirian dalam masa yang singkat.

Agong sebelum ini menitahkan agar undi percaya diadakan terhadap perdana menteri baru di parlimen. Tiada kenyataan umum dibuat berhubung dakwaan perubahan keputusan itu.

Lim berkata, hanya ada satu sebab mengapa Ismail tidak mahu mengadakan undi percaya di parlimen pada Selasa depan, iaitu dia tidak lagi mendapat sokongan 114 anggota parlimen.