Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon timbalan speaker dari ‘Kluster Mahkamah’, MP mahu penjelasan PM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

  • Dikemas kini dengan perkembangan terbaru.

Seorang pemimpin DAP menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan keputusan mencalonkan ahli parlimen Pontian Ahmad Maslan sebagai timbalan speaker.

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar juga mendesak Ismail meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana mencalonkan seorang ahli parlimen yang dibicara di mahkamah atas kesalahan pengubahan wang haram.

"Amat mengejutkan untuk mendapat tahu bahawa seorang ahli 'kluster mahkamah' dicalonkan sebagai timbalan speaker menggantikan ahli parlimen Pengerang Azalina Othman yang telah meletak jawatan.

"Pencalonan ini bukan sahaja tidak sihat bagi institusi parlimen kita, tetapi juga serangan terbuka terhadap reputasi institusi tersebut.

"Perdana menteri perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas keputusan menyerahkan nama ahli parlimen," katanya kepada Malaysiakini.

Sivakumar yang juga bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan mencalonkan Ahmad Maslan yang juga setiausaha agung Umno.

"Persoalannya, kerajaan akan menukar semula timbalan speaker baru sekiranya calon yang dipilih itu disabit bersalah dalam kes nanti.

"Atau adakah Ismail sangat pasti bahawa ahli parlimen ini akan bebas daripada kes mahkamah?" tanya Sivakumar.

'Kluster mahkamah' merupakan satu terma merujuk kepada beberapa ahli parlimen Umno yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Antara pemimpin Umno yang sedang dibicarakan ialah presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Najib Razak dan Ahmad Maslan sendiri.

Ahmad Maslan sedang menghadapi perbicaraan mahkamah atas dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Sivakumar meminta pendirian Bersatu yang sebelum ini menyatakan tidak akan bekerjasama dengan kumpulan itu.

"Perlu memerhatikan bahawa sama ada ahli parlimen Bersatu yang sebelum ini telah berjanji untuk tidak bekerjasama dengan kleptokrat sebaliknya akan memungkiri janji mereka dengan memilih calon pilihan Ismail ketika usul itu untuk mengundi pada 14 September ini,” katanya.