Skip to main
Logo Malaysiakini

'Perketat proses tender pada kontraktor supaya hormati hak pekerja kontrak'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kumpulan yang memperjuangkan hak pekerja kontrak hari ini menggesa kerajaan memperketatkan proses pemberian tender dengan mengatakan bahawa pengambilan kontraktor yang tidak bertanggungjawab menyumbang kepada penganiayaan pekerja.

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) juga meminta kerajaan memasukkan syarat tambahan dalam perjanjian kontrak untuk memaksa syarikat melindungi hak pekerja.

Penyelaras JPKK Kebangsaan, Danial Hakeem berkata, kerajaan perlu menyenaraihitam syarikat yang didapati melakukan sub-kontrak kepada syarikat lain dan melarang kontraktor yang mempunyai kaitan dengan politik mengambil bahagian dalam proses tender.

"Kedua, tetapkan nilai sekuriti bon RM200,000 ke RM300,000 untuk halang monopoli syarikat besar untuk bayar gaji pekerja-pekerja, sekiranya dalam kes gagal bayar gaji.

"Juga lupus bon jika terlibat rasuah atau bagi kelayakan palsu masa mohon tender," katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Selain itu, JPKK juga menggesa kerajaan memasukkan klausa mengenai hak pekerja kontrak dalam perjanjian dengan kontraktor untuk memastikan hak mereka dihormati.

"Jika gagal, maka dikira langgar perjanjian dan kenakan penalti dan senarai hitam syarikat-syarikat ini," katanya.

Kumpulan itu juga mencadangkan beberapa langkah diambil bagi menambah baik proses tender kerajaan, termasuk penubuhan badan pemantau bebas yang terdiri daripada agensi kerajaan dan wakil dari masyarakat sivil.

Selain itu kumpulan itu juga menggesa Akta Rahsia Rasmi yang diguna pakai untuk "menutup" maklumat syarikat-syarikat yang tidak sah semasa proses perolehan dimansuhkan agar maklumat berkenaan dikongsi selepas kontrak diberikan.

"Kita juga nampak dalam sistem yang wujud hari ni, tendering ada banyak masalah. Dalam proses  jangka panjang, beri masalah pada pekerja kontrak. 

"Ini  beri rekomendasi kepada kerajaan untuk perbaiki kelemahan sistem yang wujud sekarang," kata kata Setiausaha Nasional JPKK, M Sivaranjani.

Katanya, walaupun kerajaan mengeluarkan peruntukan ratusan juta ringgit untuk membayar kontraktor bagi melakukan kerja-kerja pembersihan dan keselamatan, kebajikan pekerja terus diabaikan akibat rasuah.

Mereka berkata ada sesetengah syarikat mendapat kontrak kerajaan berulang kali disebabkan amalan rasuah atau hubungan politik, meskipun telah dilapor menafikan hak pekerja.

Menurut Sivaranjani, JPKK setakat ini telah mengemukakan lebih 800 aduan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan mengenai isu-isu berkaitan kontraktor, tetapi dipercayai belum ada tindakan diambil.