Pekebun durian dapat kebenaran teruskan tindakan undang-undang pada k'jaan Pahang
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan 204 pekebun durian untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap tindakan pengusiran kerajaan Pahang.
Mahkamah juga mengeluarkan arahan yang membenarkan mereka kekal di kebun sementara menunggu keputusan dua permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan skim pengesahan pendudukan tanah.
Peguam pihak pekebun, Siew Choon Jern mengesahkan bahawa Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan anak guamnya untuk mendapatkan perintah pergantungan sementara untuk meneruskan dua semakan kehakiman tersebut.
Pada 23 Disember 2020, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan itu dan memutuskan pemohon tiada locus standi (asas perundangan) untuk menfailkannya.
Siew berkata, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini, yang dipengerusikan Mohamad Zabidin Mohd Diah, memutuskan tindakan undang-undang mereka tidak remeh.
Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran (kepada 204 pekebun durian) untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dua lagi panel hakim adalah M Nantha Balan dan Darryl Goon Siew Chai.
Katanya lagi, mahkamah juga membenarkan perintah pergantungan untuk mengekalkan status quo antara pihak terlibat, sementara menunggu keputusan semakan kehakiman itu.
"Ini bermakna buat masa ini, pekebun boleh kembali ke tanah (yang dikaitkan dalam pertikaian)," katanya lagi.
Perintah itu menghalang sebarang tindakan atau prosiding berdasarkan notis pihak berkuasa untuk mendapatkan semula tanah kebun.
Katanya lagi, semakan kehakiman akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuantan dengan pengurusan kes akan dibuat pada 22 September ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai