Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis ingatkan orang ramai tak buat laporan palsu isu kehilangan kad pengenalan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Polis Daerah Serdang A Anbalagan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan kad pengenalan (MyKad) semata-mata bagi mengelak daripada dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, bagi tahun 2021 Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang telah menerima 14 laporan palsu berkaitan jenayah samun dan ragut.

"Kebanyakan mereka yang membuat laporan palsu kononnya mendakwa menjadi mangsa samun dan ragut.

"Namun selepas siasatan lanjut dijalankan mendapati kad pengenalan mereka hilang atas kecuaian diri mereka sendiri.

"Hasil siasatan mendapati, mereka mengambil jalan pintas membuat laporan polis supaya mereka dapat mengelak daripada dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Tindakan mereka ini didapati tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Anbalagan memberitahu bahawa seorang wanita dituduh di Mahkamah Petaling Jaya esok di atas kesalahan Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu yang dikatakan individu tersebut telah disamun.

"Wanita itu membuat laporan polis pada 6 September, menyatakan telah diragut selepas membeli makanan di tepi jalan oleh seorang lelaki bangsa tidak pasti menggunakan motosikal di Jalan Bandar 8, Pusat Bandar Puchong.

"Berikutan itu, hasil siasatan pegawai penyiasat mendapati individu tersebut telah membuat laporan polis palsu," katanya.

Individu yang membuat laporan polis palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.