Lembah Klang masuk Fasa 2 PPN Jumaat ini
Lembah Klang - yang selama beberapa bulan menjadi kawasan penularan utama wabak Covid-19 di Malaysia - akhirnya akan memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat ini.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob susulan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.
"Keputusan ini dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta MKN dan akan berkuat kuasa pada 10 September 2021," kata Ismail dalam kenyataan.
Antara lain, ini bermakna individu yang telah divaksin penuh dibenarkan membuat perjalanan antara Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya; memandangkan ketiga-tiganya kini dikira sebagai satu "kawasan jangkitan" yang sama, justeru tidak lagi terkesan dengan larangan perjalanan rentas negeri yang masih berkuat kuasa.
Dengan pengumuman itu, hanya Kedah dan Johor sahaja negeri yang masih berada dalam Fasa 1.
Nilai ambang peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 ditentukan berdasarkan tiga kriteria, iaitu purata kes harian Covid-19 di bawah 4,000 kes; penggunaan katil wad unit rawatan rapi (ICU) di paras sederhana; dan 10 peratus penduduk sudah diberi vaksin sepenuhnya.
Antara kelonggaran yang diberikan bagi negeri dalam Fasa 2 termasuklah:
- Rentas daerah dibenarkan kepada individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin.
- Pasangan suami isteri jarak jauh lengkap divaksin dibenar merentas negeri
- Ibu bapa yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak berusia bawah 18 tahun
- Makan di premis restoran dibenarkan untuk pelanggan lengkap dua dos vaksin
- Aktiviti pelancongan dibenarkan dalam negeri yang sama yang melibatkan penginapan di hotel dan homestay bagi individu yang telah lengkap dua dos.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata SOP bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi, untuk negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 1 turut diberikan kelonggaran, berkuat kuasa 10 September. Antaranya:
- Membenarkan sukan indoor - kecuali gimnasium - kepada individu yang lengkap dua dos vaksin.
- Fasiliti sukan dan rekreasi komersil tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi secara janji temu, tetapi hanya untuk mereka yang lengkap divaksin.
- Perniagaan kedai bunga/nursery, kedai peralatan outdoor dan galeri perumahan akan mula dibenarkan beroperasi.
“Sementara itu bagi negeri yang diletakkan di bawah Fasa 2 dan Fasa 3, kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, hair dresser (pendandan rambut), dan salon kecantikan dibenarkan.
“Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN dan kementerian berkaitan,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai