Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganalisis: Imej k'jaan terjejas jika Najib diberi peranan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan akan mendapat tanggapan negatif sekiranya bekas perdana menteri Najib Razak kembali diberi peranan dalam pentabdiran negara, kata penganalisis politik.

Menurut Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia, ini kerana kerajaan akan dilihat masih mahu mengetengahkan pemimpin politik yang mempunyai liabiliti.

“Ia bakal memberi tanggapan negatif bukan saja kepada Umno tetapi kerajaan, di mana ia dilihat masih mahu mengetengahkan orang-orang lama yang ada liabiliti walaupun berpengalaman.

“Jadi bagi kumpulan yang sememangnya mencari senjata untuk menekan Umno, ini juga ‘bola tanggung’ - agak mudah digunakan untuk menyerang Umno,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai saranan Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub agar Najib diberi peranan dalam kerajaan, seperti Muhyiddin Yassin yang dilantik menjadi pengerusi MPN.

Menyifatkan Najib sebagai mempunyai pengalaman, Mustapha berkata ia juga selaras dengan semangat Keluarga Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Dr Jamaie Hamil dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula mempersoalkan jika saranan itu atas kedudukan Najib sebagai bekas perdana menteri, nama Dr Mahathir Mohamad juga boleh dicadangkan.

“Sudah tentulah ia boleh memberi pandangan negatif terhadap kerajaan, lebih-lebih lagi ia dianggap sebagai kerajaan Umno dengan parti itu memegang kementerian yang penting.

“Dan kalau (cadangan) Najib atas kedudukannya sebagai bekas perdana menteri, kenapa tidak Dr Mahathir juga diberi peranan?” katanya lagi.

Pada 4 September lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN sebagai mengharai peranannya sebelum ini.

Kesan positif ada tapi negatif lebih banyak

Namun, Azmi dan Jamaie bersetuju turut ada kesan positif jika ahli parlimen Pekan itu turut menyumbang peranannya dalam MPN.

Azmi berkata pelantikan itu akan sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada akar umbi Umno yang masih menghargai pengalaman Najib sebagai bekas pemimpin negara.

"Tetapi kalau nak dibandingkan, kesan negatif lebih mendalam kerana bagi mereka yang sinis terhadap Umno, ini boleh digunakan sebagai senjata untuk mengatakan Umno tidak mahu berubah," katanya.

Sisi positif bagi Jamaie pula adalah Najib seorang yang berpengalaman dan sudah lama dalam kerajaan - pernah menjadi menteri besar Pahang dan memegang pelbagai kementerian.

“Jadi pengalaman dia mungkin boleh membawa manfaat kepada negara, seperti mana peranan yang diberikan kepada Muhyiddin.

Ismail Sabri dan Muhyiddin Yassin

"Mungkin dia boleh membantu dalam memperbaiki ekonomi negara," katanya lagi.

Bagaimanapun, kata Azmi, dengan mengambil kira kes-kes mahkamah yang melibatkan Najib, kerajaan sekarang tidak perlu terheret dengan perkara seperti ini.

Apatah lagi dengan laporan bahawa undi percaya tidak akan diadakan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang, katanya.

“Buat masa ini tak perlu dilantik secara rasmi walaupun ada yang berpendapat Najib yang mempunyai pengalaman luas dapat bantu kerajaan," katanya, sambil menambah Najib masih boleh menyumbang pendapatnya berhubung proses pemulihan negara di Parlimen.