Aktivis, Adun sambut baik keputusan S'gor wartakan semula hutan simpan
Aktivis dan wakil rakyat menyambut baik keputusan kerajaan negeri Selangor menghentikan cadangan pelan pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat (Utara).
Mereka juga menyambut baik usaha kerajaan negeri mewartakan semula sebahagian hutan yang sudah dinyahwarta sebelum ini bagi memberi laluan kepada projek perumahan.
Keputusan itu juga disifatkan Greenpeace Malaysia dan Klima Action Malaysia (Kamy) sebagai kemenangan bagi mereka yang menentang penyahwartaan itu.
"Akhirnya, kemenangan untuk hutan simpan dan kuasa rakyat," ciap Greenpeace Malaysia semalam.
Kamy turut meraikan berita tersebut di Twitter.
“Satu lagi kemenangan untuk rakyat hari ini. Terima kasih kepada semua individu dan organisasi yang telah berjuang dalam kempen Hutan Pergi Mana,”katanya.
Seniman dan aktivis Orang Asli, Shahar Shaq Koyok yang bersuara lantang dalam menentang penyahwartaan itu mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan aktivis atas usaha mereka melindungi hutan berkenaan.
"Ini menunjukkan kekuatan rakyat! Terima kasih Global Environment Centre, Suaram, Greenpeace Malaysia, Kamy, M Solidariti, Pertubuhan Pelindung Khazanah Air (Peka), Five Arts Center dan semua yang terlibat dalam perjuangan ini!" ciapnya malam tadi.
Sedia mendengar
Semalam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan mengumumkan bahagian hutan yang sudah dinyahwarta akan diwartakan semula.
Daripada kawasan seluas 536.7 hektar, sebanyak 42.1 hektar kekal dinyahwarta untuk pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru.
Kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan kekal nyah warta untuk tujuan jajaran East Coast Rail Link (ECRL).
Bagaimanapun, Amirudin tidak menyatakan dengan tepat luas hutan yang akan diwartakan semula sebagai hutan simpan kekal.
Selebihnya akan diklasifikasikan kembali sebagai sebahagian dari hutan simpan kekal.
Pengerusi Majlis Penyokong Kerajaan (BBC), Elizabeth Wong turut mengucapkan syabas kepada Amirudin dan memuji keputusan berkenaan.
"Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Menteri Besar, Dato Seri Amiruddin Shari dan Exco Kerajaan Negeri Selangor kerana telah memutuskan untuk mewartakan semula Hutan Simpan Utara Kuala Langat (KLNFR).
"Ini menunjukkan kesediaan dan keberanian Kerajaan Negeri Selangor untuk mendengar suara pemimpin, NGO alam sekitar, wakil rakyat dan rakyat yang prihatin dan cinta alam sekitar," kata Adun Bukit Lanjan itu dalam kenyataan malamn tadi.
Wong yang merupakan bekas exco negeri yang menjaga portfolio alam sekitar, menegaskan Selangor bernasib baik kerana terdapat proses pendengaran awam yang wajib untuk mana-mana hutan simpan yang bakal dinyahwartkan.
"Saya berharap peruntukan ini akan dimasukkan dalam Akta Perhutanan Negara 1984 untuk melindungi hutan simpan di negara ini yang semakin terjejas kerana kegiatan dan aktiviti ekonomi," kata Adun PKR itu.
Turut menyambut baik usaha kerajan negeri itu adalah Adun DAP dari Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong.
Selepas penyahwartaan itu, naib presiden Parti Muda, Dr Thanussha Francis Xavier meminta semua pihak berwaspada dengan isu-isu alam sekitar di negara ini.
“Walaupun kita meraikan kemenangan ini, jangan sampai kita lupakan projek pembangunan lain yang sedang berjalan walaupun terdapat kesan terhadap alam sekitar yang jelas di Kedah, Pahang, Kelantan dan Johor.
"Kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan harus tetap komited untuk melindungi alam sekitar kerana mereka berkewajiban untuk menghormati kehendak rakyat," katanya.
PKR sokong keputusan
Sementara itu, PKR memuji keputusan yang dibuat Amirudin.
"Kami merakamkan penghargaan buat YAB Datuk Menteri Besar yang terbuka menerima pandangan dari pelbagai pihak termasuk pimpinan parti, badan-badan bukan kerajaan, serta orang awam," kata pengarah komunikasinya, Fahmi Fadzil.
PKR seeblum ini telah memanggil Amirudin untuk mendapatkan penjelasan.
Exco kerajaan negeri membuat keputusan mengenai penyahwartaan itu pada Mei tetapi hanya didedahkan tiga bulan kemudian pada 30 Ogos semasa sesi sidang DUN susulan pertanyaan dari Adun.
Penyahwartaan itu dilakukan meskipun Adun Selangor sebulat suara menentangnya.
Tanah tersebut mahu diberikan kepada syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd untuk projek pembangunan campuran.
Ini mencetuskan bantahan kumpulan alam sekitar, organisasi masyarakat sivil, netizen, wakil rakyat kerajaan dan pembangkang serta kementerian persekutuan.
Hutan Simpan Kuala Langat Utara merupakan hutan paya gambut yang diiktiraf sebagai habitat flora dan fauna terancam, termasuk beruang matahari Malaya, ikan laga merah Langat, tupai terbang terkecil Selangor dan pohon meranti.
Ia juga merupakan sumber rezeki bagi Orang Asli yang tinggal di kawasan ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai