Idris dan Marzuk patut jernihkan keadaan, kata Hanipa
Menteri Agama Idris Ahmad dan timbalannya Ahmad Marzuk Shaary diminta menjernihkan suasana berkait penggubalan undang-undang untuk menyekat serta mengawal pengembangan agama bukan Islam.
Anggota Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, berkata berdasarkan laporan media, ramai orang khususnya dalam kalangan rakyat yang bukan Islam dilihat membantah cadangan tersebut.
Menurutnya, walaupun boleh difahami kebimbangan itu berdasarkan kenyataan yang dilaporkan setakat ini, namun sebahagian besar daripada mereka dipercayai tidak arif tentang perkara yang mereka kritik.
"Yang lebih malang sama ada menteri undang-undang dan menteri agama dan timbalannya pun nampaknya tidak berusaha untuk menjernihkan keadaan.
"Malangnya, depa (mereka) tak bersuara menjawab reaksi pandangan dan kekeliruan khalayak bukan muslim itu," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Marzuk mendedahkan bahawa rang undang-undang (RUU) bagi Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sedang digubal.
Katanya, RUU itu dikemukakan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah.
Bagaimanapun Malaysiakini pada Mac lalu melaporkan Ahmad Marzuk berkata, penggubalan RUU itu hanya melibatkan Wilayah Persekutuan.
Baca Memahami undang-undang sekatan pengembangan agama bukan Islam
Sebagai rekod, kebanyakan negeri sudah mempunyai undang-undang (enakmen) berkenaan kawalan dan pengembangan agama bukan Islam kecuali di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Hanipa yang juga bekas timbalan menteri undang-undang turut mempersoalkan sama ada Idris dan Marzuk benar-benar faham isu tersebut.
Pada masa sama dia yang juga seorang peguam kanan mempersoalkan kedudukan RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang sebelum ini diperjuangkan pindaannya oleh PAS.
Ia giat diperkatakan parti itu semasa mereka menjadi pembangkang.
"Saya tak pasti jika andai kata RUU355 (pindaaan) ingin dibentang, lepas atau tidak menteri agama nak yakinkan teman mereka dalam kabinet, apa lagi di Parlimen?
"Maaf, sejujurnya saya tak pasti sama ada menteri dan timbalan menteri agama dari PAS itu sendiri benar-benar faham atau tidak isu ini.
"Saya harap depa faham dan dapat engage dengan para pengkritik bagi menjernihkan keadaan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai