Skandal 1MDB: Najib, Justo bertikam lidah di Facebook
Najib Razak dan warga negara Switzerland, Xavier Andre Justo bertikam lidah di Facebook susulan bekas perdana menteri itu melabelkannya sebagai pencuri dan pemeras ugut.
Najib mendakwa Justo telah mencuri data dari Petrosaudi International dan kemudian menjual data-data itu.
Justo adalah bekas pengarah PetroSaudi yang membocorkan lebih dari 200,000 komunikasi e-mel syarikat tersebut, antara lain, pada tahun 2015 yang mencetuskan siasatan pelbagai negara terhadap 1MDB - dana kekayaan milik Malaysia yang diasaskan oleh Najib.
Sebagai rekod, PetroSaudi adalah syarikat cari gali minyak swasta Arab Saudi dan mempunyai usaha sama dengan 1MDB yang bermula pada tahun 2009. Usaha sama tersebut telah menjadi subjek siasatan oleh pihak berkuasa di dalam dan luar Malaysia.
Pertikaman lidah dalam talian mereka bermula semalam apabila Najib dalam satu hantaran di Facebook mendakwa bahawa Justo telah mencuri pangkalan data e-mel PetroSaudi kerana dirinya kecewa setelah dipecat dari syarikat itu pada tahun 2011.
“Justo tak puas hati kerana dipecat. Semasa dia dipecat, dia curi seluruh database email syarikat PetroSaudi,” kata Najib.
“Dia (Clare Brown) tuduh bahawa saya yang penjarakan Xavier Justo tanpa sebab di Thailand biarpun saya tidak pernah jadi PM Thailand.
“Tidak. Clare Brown dah lupa bahawa Xavier dipenjarakan di Thailand sebab dia curi dari boss dia untuk peras ugut boss dia di Thailand,” kata bekas perdana menteri itu.
Najib merujuk kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, yang pada Ahad lalu menerbitkan artikel di blog berita mengenai 1MDB dan Petrosaudi dengan menyentuh isu pemenjaraan Justo pada tahun 2015.
Ahli Parlimen Pekan itu seterusnya mendakwa bahawa seorang warga Britain yang didakwa sebagai kawan rapat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian menghubungi Justo, supaya dia menjual data tersebut kepada Brown.
Mengulas hantaran kepada Najib, Justo petang semalam membuat catatan di Facebook sambil menafikan dakwaan Najib bahawa dia dipecat dari PetroSaudi.
Dia juga menafikan dirinya dihubungi oleh warganegara UK supaya menjual data PetroSaudi.
Justo berkata bahawa dia tidak pernah dipecat dari PetroSaudi, tetapi sebaliknya telah meletakkan jawatan atas kerelaan sendiri. Untuk membuktikan dakwaannya, Justo juga melampirkan paparan skrin e-mel, yang menurutnya adalah bukti bahawa dia meletakkan jawatan.
Dia juga menyebut Najib sebagai pembohong, dan menuduh bekas perdana menteri itu berharap segala pembohongannya itu akhirnya akan diterima sebagai kebenaran ataupun daya ingatannya semakin merosot berikutan semakin berusia.
"Pertama, maaf untuk memaklumkan kepada anda bahawa terdapat banyak bukti di mahkamah yang berbeza (Switzerland, Malaysia, USA dan lain-lain) yang membuktikan kamu bersalah!
"Kedua, saya fikir anda perlu menemui doktor untuk memeriksa secara menyeluruh tahap kesihatan mental.
“Saya juga melampirkan paparan gambar berhubung surat peletakan jawatan saya dengan harapan anda akan berhenti daripada terus mendakwa saya dipecat.,” kata Justo.
Mengenai warganegara UK yang disebut oleh Najib, Justo mendakwa bahawa dia hanya bertemu lelaki itu pada 2018 setelah Dr Mahathir memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 dan bukan sebelumnya.
Menjawab kenyataan itu, Najib dalam hantaran di Facebooknya hari ini mempersoalkan sekiranya Justo memang seorang pemberi maklumat, mengapa dia menunggu selama empat tahun sebelum membocorkan e-mel PetroSaudi kepada The Edge dan Sarawak Report.
"Benarkah anda bertemu dan memeras ugut majikan anda di Thailand pada tahun 2013? Sekiranya ini tidak benar dan kesalahan itu tidak berlaku di Thailand, mengapa mahkamah Bangkok mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman penjara 3 tahun ke atas anda?
"Dan mengapa anda tidak membantah sistem perundangan Thailand kerana memenjarakan anda secara haram atau bahkan merayu kes anda?" soal Najib.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai