Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco: Krisis air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu mula pulih

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Krisis gangguan bekalan air yang melibatkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak 23 Ogos lepas berjaya dipulihkan secara berperingkat bermula pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh, berkata bekalan air bersih disalurkan kepada pengguna menerusi pengaktifan sebahagian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit dengan keupayaan 60 juta liter sehari (MLD).

"Keupayaan penuh loji ini adalah 120 MLD yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun depan. Namun, operasinya dipercepatkan dengan separuh kapasiti bagi menyalurkan air kepada pengguna yang terjejas akibat krisis ini.

"Bagaimanapun, empat peratus kawasan mendapat air sedikit lewat kerana berada di hujung sistem agihan. Pengguna di kawasan itu akan menerima bekalan air bersih sepenuhnya awal pagi esok," katanya kepada pemberita di Dewan Serbaguna Tepoh, di Kuala Nerus, hari ini.

Krisis gangguan bekalan air di dua daerah itu berlaku pertama kali pada 2 Ogos lepas berpunca daripada paip bersaiz 1.2 meter pecah di dasar Sungai Terengganu. Bekalan air bersih pulih secara berperingkat pada 13 Ogos, namun gangguan sama berulang apabila paip yang dibaiki patah semula di lokasi berlainan 10 hari kemudian (23 Ogos).

Mengulas lanjut, Dr Mamad berkata walaupun pengguna telah menikmati bekalan air bersih, kerja baik pulih paip di dasar sungai tetap diteruskan dan sehingga kini sudah capai 50 peratus.

"Ia boleh dibuat dengan lebih teliti tanpa tergesa-gesa kerana tiada jangka masa tertentu ditetapkan. Apabila siap kelak, jajaran paip dasar sungai ke tangki utama loji Berangan itu akan menjadi alternatif bekalan air bersih kepada penduduk di dua daerah tersebut selain LRA Bukit Berapit...dengan adanya dua sistem ini, kelancaran bekalan air lebih terjamin," katanya.

-Bernama