LPF larang iklan pakaian dalam di dua platform penyiaran TV - Laporan
Lembaga Penapis Filem (LPF) Kementerian Dalam Negeri telah mengarahkan dua syarikat penyiaran untuk berhenti memaparkan iklan pakaian dalam lelaki dan wanita dalam rancangan membeli-belah dari rumah masing-masing.
LPF berkata memaparkan pakaian dalam - walaupun tidak dipakai oleh model secara langsung - tidak senonoh dan menyinggung perasaan, dan oleh itu bertentangan dengan garis panduan dan tatakelakuannya.
Pakaian yang dijual di kedua platform itu termasuk seluar dalam lelaki, seluar dalam wanita dan bra, serta baju pembentuk badan.
"Kementerian Dalam Negeri berpendapat walaupun iklan itu tidak menunjukkan pakaian dalam yang dipakai secara langsung oleh model dan tidak melibatkan paparan visual yang tidak senonoh, iklan 'pakaian dalam' akan tetap menyinggung perasaan masyarakat, terutama membabitkan kaum, agama, jantina, dan umur," lapor The Malay Mail hari ini.
Tambahan pula, syarat untuk menjaga adab, kesopanan, dan kepekaan masyarakat berbilang etnik dan agama di Malaysia sangat penting, kata LPF dalam notis kepada penyiar berkenaan bertarikh 3 Sept.
Menjelaskan lanjut, LPF berkata KDN menyifatkan kandungan pakaian dalam tersebut tidak sesuai untuk tontonan umum dan menegaskan semua siaran sedemikian dihentikan segera.
Ini walaupun pakaian dalam lelaki dan wanita yang dipamerkan dalam iklan membeli-belah dari rumah itu dipamerkan di rak atau patung dan bukan dipakai model langsung.
Dalam surat kepada penyiar lain bertarikh 24 Ogos, lembaga penapisan itu menolak rayuan yang diajukan oleh syarikat terbabit.
Dengan mempertimbangkan kepentingan semua pihak dalam rayuan itu, LPF menegaskan ia tetap berpegang pada Garis Panduan Penapisan Filem 2010 (GPPF 2010) Perkara 1 Bahagian III (mengenai) iklan filem, yang menyatakan iklan film atau segala bentuk iklan yang disampaikan yang mempromosikan organisasi, produk atau perkhidmatan berjenama mesti beretika.
LPF berkata paparan pakaian dalam menyinggung perasaan dan penting untuk menjaga kepekaan penonton berbilang agama dan budaya.
‘Pelihara adab’
Ketika dihubungi oleh The Malay Mail, LPF menekankan perlunya kandungan disiarkan untuk menjaga akhlak dan kesopanan sambil menyeimbangkan sensitiviti masyarakat yang pelbagai.
Selain itu, kata LPF pihaknya melihat bagaimana rancangan itu disiarkan melalui televisyen sebagai media yang dapat ditonton secara langsung oleh seluruh isi rumah termasuk kanak-kanak.
Kandungan sedemikian kata LPF lagi perlu melepasi garis panduan khusus untuk filem buatan tempatan yang dimaksudkan untuk stesen TV, di bawah bidang kuasa badan penapisan itu.
"[Ini] kerana pertimbangan mengenai aspek sensitif ditekankan untuk memenuhi keperluan dalam menjaga adab, kesopanan, dan kepekaan dasar bagi masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia," kata LPF, lapor portal itu.
"Kedua-dua stesen televisyen terbabit tahu semua syarat yang wajib dipatuhi di bawah perintah pengecualian dalam Akta Penapisan Filem 2002 yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri," jelas LPF.
Peruntukan akta itu menyebut,"apa-apa filem atau bahan publisiti filem yang lucah atau yang selainnya bertentangan dengan kesopanan awam."
Kedua penyiar berkenaan telah mematuhi arahan ini dan telah membuang segmen yang terjejas, kata LPF.
"Tetapi, jika kandungan ini ditunjukkan di platform dalam talian lain, kandungan tersebut tidak lagi dikenakan tindakan bawah Akta Penapisan Filem 2002," tambah LPF.
Kedua-dua syarikat itu, yang tidak disebutkan namanya, dihubungi oleh portal berita itu dan masih belum memberikan komen mengenai masalah ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai