Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ digesa jelaskan perubahan fasa endemik Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) mendesak kerajaan memberi penjelasan berhubung peralihan fasa endemik Covid-19 yang dijangka bermula Okt ini seperti yang dimaklumkan Khairy Jamaluddin.

MHC dalam kenyataan berkata mereka menyambut baik "permulaan yang menggalakkan" oleh menteri kesihatan baru terbabit namun menegaskan beberapa langkah yang lebih bijak perlu dilakukan dalam beberapa bidang.

“Mengendalikan pandemik, program vaksinasi imunisasi, rutin, ujian saringan yang efisien dan meningkatkan kemampuan penjagaan kesihatan adalah antara bidang yang memerlukan perubahan polisi yang jelas supaya kita dapat menangani Covid-19 sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan rakyat Malaysia," kata MHC semalam.

MHC turut memberi amaran, orang ramai mungkin mula mengambil sikap selesa dengan virus berkenaan kecuali Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh sistem kesihatan negara sebelum mengklasifikasikan pandemik Covid-19 sebagai endemik.

Walaupun indeks prestasi utama (KPI) 100 hari yang ditetapkan oleh menteri wajar dipuji, MHC tetap mendesak Khairy agar mengambil langkah ke hadapan untuk menetapkan sasaran yang lebih mendesak kerana wabak itu masih menular di negara ini.

“Oleh itu kami menyarankan agar menteri menyetujui satu set KPI berperingkat yang akan dicapai dalam 30, 60 dan 90 hari, bersama dengan KKM dan bukan ahli KKM.

"KPI bertahap ini harus diumumkan untuk pertanggungjawaban dan untuk menyatukan seluruh Malaysia untuk mencapai KPI ini bersama-sama.

"Ia harus digabungkan dengan Program Pemulihan Negara, Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 yang meletakkan bidang kesihatan berada di barisan depan dalam semua pertimbangan dasar," kata MHC.

MHC juga mengesyorkan Khairy melibatkan pakar kesihatan di luar KKM dalam membuat keputusan, dan bukannya melakukannya secara ad-hoc.

"Model kerja yang baik adalah pasukan bertindak khas atau Greater Klang Valley Special Task Force (GKV STF). MHC dan organisasi anggota kami sedia membantu,” tambah MHC.

GKV STF ditubuhkan untuk memperkukuh kesiapsiagaan sistem kesihatan di Lembah Klang bagi menangani situasi semasa penularan Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur.

Semalam, Malaysia mencatatkan 19,307 kes baru Covid-19 dan 323 kematian, menjadikan jumlah korban wabak itu seramai 19,486 orang.