Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibu kandung, kekasih didakwa bunuh anak berumur 3 tahun

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang juga anak kandung kepada tertuduh wanita, minggu lepas.

Ieda Nor Esbi Baharudin, 35, dan teman lelakinya, Norazizol Baharum, 34, yang kelihatan tenang, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai Majistret.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Ieda Nor Esbi dan Norazizol didakwa dengan niat bersama membunuh Zaff Zaffrul Zaiful Amiro Shah di sebuah rumah di Seksyen 2 di Bangi antara 6.30 pagi dan 10.41 malam, 2 Sept lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Okt sebagai sebutan bagi serahan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama