Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO gesa S'gor hentikan pencerobohan di rizab Batu Caves

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekumpulan NGO menggesa kerajaan Selangor menghentikan pencerobohan di kawasan rizab Batu Caves.

Ini setelah mereka mendapat tahu hak milik tanah persendirian dikeluarkan kepada 17 bidang tanah di rizab itu, yang melanggar Kanun Tanah Negara.

"Oleh itu, kami menuntut agar Menteri Besar, Amirudin Shari memberikan penjelasan. Sebarang hak milik tanah yang diberikan secara haram seharusnya dibatalkan.

"Rizab Batu Caves mesti diperluas, bukan dikurangkan.

"(Kerajaan) negeri mesti menghormati Batu Caves sebagai khazanah negara. Jika tidak, kita berisiko kehilangan tapak ini yang mempunyai spesies unik dan nilai ekologi, geologi dan kebudayaan luar biasa,"kata itu NGO dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Antara 17 pertubuhan yang mengeluarkan kenyataan itu ialah Batu Caves Special Interest Group , firma penyelidikan Resource Stewardship Consultant Sdn Bhd (Rescu), Sahabat Alam Malaysia dan Greenpeace Malaysia.

Rizab Batu Caves seluas 272 hektar, merangkumi bukit di mana kuil Hindu terkenal ditempatkan dan pertama kali diwartakan pada tahun 1930.

Namun, sebahagian daripada rizab di bahagian timurnya telah diperluas - dan di sinilah sebahagian besar hak milik tanah baru diberikan.

Menurut pengarah urusan Rescu, Teckwyn Lim, kawasan pembangunan di hutan simpan berkenaan adalah kawasan setinggan yang muncul pada tahun 1980-an dan terus berkembang sejak itu serta memasuki kawasan rizab berkenaan.

Dia memberitahu Malaysiakini bahawa tiada pemaju terkemuka antara pemegang hak milik baru tersebut.

Sementara itu, kumpulan itu juga menyatakan kebimbangan mengenai kes pembakaran terbuka di sebelah bukit batu kapur Batu Caves pada 9 Ogos lalu.

Mereka mengingatkan bahawa kebakaran pernah melanda bahagian timur bukit itu pada 2016.

"Setelah kebakaran itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta bukit Batu Caves terus dilindungi.

"Namun, sepertiga daripada bukit seluas 145 hektar itu tetap tidak dilindungi. Lima tahun lalu sejak kebakaran tersebut menyaksikan kerajaan negeri tidak memberikan perlindungan tambahan kepada bukit berkenaan," kata mereka.

Kumpulan itu berkata kerajaan negeri mesti melindungi keseluruhan bukit Batu Caves dan zon penampan serta mengelakkan kebakaran berlaku.

Gesaan itu dibuat selepas kerajaan Selangor menarik balik cadangan untuk menyahwartakan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat bagi tujuan pembangunan - berikutan bantahan masyarakat.