Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes Covid-19 masih tinggi, pramatang tukar status jadi endemik - Lim

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Terlalu awal untuk menukar status Covid-19 daripada pandemik kepada endemik ketika kes jangkitan harian dan kadar kematian masih tinggi di seluruh negara.

Lim yang juga ahli parlimen Iskandar Puteri berkata, walaupun dia bersetuju bahawa rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa berkemungkinan besar Covid-19 akan kekal serta menjadi sebahagian daripada kehidupan harian manusia, namun statusnya masih lagi pandemik selagi kes jangkitan harian terus meningkat.

"Saya teringat apa yang dikatakan Pengarah Institut Alergi Nasional dan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (CDC), Dr Anthony Fauci baru-baru ini bahawa AS masih'dalam fasa pandemik', jauh daripada (sasaran) 10,000 kes sehari (untuk keadaan di AS) akan mulai merasa lebih selesa.

"Fauci berkata: 'Sekarang, kami masih dalam keadaan pandemik kerana kami (AS) mempunyai 160,000 jangkitan baru setiap hari'.

"Bagi Malaysia, kita tidak boleh mendakwa bahawa pandemik telah berakhir kecuali kita mempunyai 1,000 kes atau kurang sehari," kata Lim pada satu kenyataan.

Lim berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa Covid-19 akan dianggap sebagai endemik dan negara akan beralih daripada pendekatan pembendungan total.

Menurut Khairy sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia untuk menerima kenyataan bahawa Covid-19 akan berada di kalangan masyarakat, dan dengan itu harus belajar hidup dengan virus tersebut.

"Banyak pandemik berakhir dan menjadi endemik, berubah menjadi sesuatu yang bukan lagi keadaan darurat, melainkan gangguan, fakta kehidupan yang jelek dan menyakitkan yang orang hanya belajar untuk mengatasi, seperti selesema atau selesema biasa - tetapi persoalannya adalah bila dan bagaimana kita sampai ke tahap itu,” soal Lim.

"Vaksin telah mengubah keseimbangan dengan kemampuan untuk membendung kesan buruk Covid-19 - penyakit tahap kategori teruk, kemasukan ke hospital dan kematian - tetapi vaksin sahaja tidak dapat menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian menjadi sifar dengan peningkatan varian Delta dan varian lain. Vaksin memberikan perlindungan hebat tetapi tidak sempurna," katanya.

Lim berkata Malaysia tidak boleh diklasifikasikan sebagai endemik ketika negara masih berada di kedudukan 10 teratas di dunia untuk kes baru Covid-19.

Semalam, Malaysia mencatatkan 21,176 kes baru Covid-19 baru dengan 341 kematian.

Itu meletakkan Malaysia ditangga kelima dunia dari segi kes Covid-19 baru, menurut laman Worldometer.

Untuk rekod, CDC menyatakan wabak epidemik sebagai peningkatan yang tidak dijangka dalam jumlah kes penyakit di kawasan geografi tertentu. Demam kuning, cacar, campak, dan polio adalah contoh utama keadaan pandemik.

Keadaan endemik pula, menurut WHO terjadi apabila wabak penyakit menyebar secara konsisten tetapi terhad pada kawasan tertentu. Ini menjadikan penyakit merebak dan kadarnya dapat diramalkan.

Malaria, misalnya, dianggap sebagai endemik di negara dan wilayah tertentu.

Sementara itu, WHO mengisytiharkan wabak pandemik apabila pertumbuhan penyakit secara esponen. Ini bermaksud kadar pertumbuhan melonjak dan setiap hari kes baru lebih banyak dari hari sebelumnya serta meliputi kawasan yang luas, yang memberi kesan terhadap beberapa negara dan populasi.

WHO mendefinisikan pandemik, epidemik dan endemik berdasarkan kadar penyebaran penyakit manakala pandemik melintasi sempadan antarabangsa, berbanding epidemik serantau.