Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas pelajar Limkokwing tuntut RM5juta isu ijazah tak diiktiraf

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sepuluh pelajar antarabangsa menuntut ganti rugi RM5 juta dari pusat pengajian mereka Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT).

Ini berlaku setelah institusi tersebut kehilangan tauliah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (dengan Kepujian) dalam Teknologi Perkomputeran Awan (Cloud Computing BCCT).

Bekas pelajar - yang lulus pada tahun 2018 dan 2019 - berasal dari Bangladesh, Iraq, Senegal, Pakistan, Nigeria dan Syria dan meminta ganti rugi untuk yuran universiti yang dibayar, kos sara hidup di Malaysia dan bayaran tambahan.

Mereka menyebut tekanan emosi dan mental kerana isu pentauliahan itu serta menyebabkan masalah mencari pekerjaan di negara asal mereka.

Wakil kumpulan itu, Chowdhury Atiqur Habibur, memberitahu Malaysiakini mereka memutuskan untuk mendapatkan bantuan undang-undang setelah mengadakan pertemuan dengan MQA pada bulan Ogos.

"Sekumpulan kami mengadakan pertemuan dengan MQA yang memberitahu kami bahawa tanpa mengambil tindakan undang-undang terhadap LUCT, mereka tidak dapat menjangkakan jika universiti itu akan berusaha mendapat pentauliahan atau menyelesaikan masalah berkenaan.

“Pada masa itu, kami memutuskan melantik peguam untuk membincangkan perkara itu dengan universiti.

"Surat tuntutan undang-undang itu dikirim dan diterima oleh universiti pada pukul 3.05 petang pada hari Khamis," katanya melalui panggilan semalam.

Peguam yang mewakili pelajar tersebut berkata nilai RM5 juta itu ganti rugi kerana memberi gambaran yang salah, cuai dan pelanggaran kontrak oleh LUCT, lapor The Vibes.

Sepucuk surat dilaporkan juga dikirimkan kepada Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad, untuk meminta pertemuan.

Sementara itu, Chowdhury berkata melalui pertemuan dalam talian, MQA mendedahkan bahawa tidak ada peruntukan undang-undang di Malaysia yang dapat memaksa LUCT menyerahkan pemohonan untuk mendapatkan pentauliahan akademik.

Timbalan ketua eksekutif MQA Prof Khairul Salleh Mohamed Sahari dan pengarah akreditasi kanan MQA Lilian Kek Siew Yick turut hadir dalam pertemuan itu.

Malaysiakini difahamkan program BCCT itu telah mendapat pentauliahan sementara dari 25 Mac 2014 hingga 20 Mei 2021.

LUCT kemudian memohon pentauliahan pada tahun 2017 pada 22 November tetapi ditolak pada bulan November 2019 oleh jawatankuasa akreditasi MQA kerana gagal memenuhi syarat standard minimum.

Mereka kemudian mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengajian Tinggi pada 27 Disember 20189 yang kemudiannya turut ditolak.

Pada bulan Mei, LUCT mendakwa lapan kursus, termasuk BCCT, telah diubah dan diserahkan semula dalam masa 30 hari setelah ditandai dalam audit pentauliahan baru-baru ini.

Namun pada bulan Julai, universiti berkata mereka masih bekerjasama dengan MQA untuk mendapatkan kembali pentauliahan yang dibatalkan terhadap semua lapan kursus, mendakwa perkara tertentu masih perlu ditangani sesuai dengan garis panduan MQA.

Walau bagaimanapun, Chowdhury mendakwa MQA pada jawapan bertulis, mengesahkan pihaknya belum menerima permohonan pentauliahan penuh untuk BCCT sehinggalah ke hari ini.

Ketika dihubungi, naib presiden kanan LUCT berkata peguam universiti akan menjawab tuntutan kumpulan itu secara langsung.

Chowdhury dan sembilan penuntut universiti itu sebelum ini bergabung dengan sekumpulan 840 pelajar lain yang menuntut ganti rugi dari universiti itu. Bagaimanapun, tuntutan itu tidak menampakkan hasil.

Manipulasi pelajar yang berpotensi

LUCT mengiklankan 50 peratus biasiswa untuk program di universiti di laman web perundingan pendidikan Afterschool.my.

Iklan tersebut menyebut program di LUCT mendapat pengiktirafan global dan tauliah (“accredited programmes”) sebagai antara alasan untuk belajar di universiti tersebut.

Malahan LUCT menyenaraikan BCCT sebagai salah satu program yang ditawarkan.

Chowdhury mengatakan iklan seperti itu membuatnya merasa tidak berdaya dan takut kepada calon pelajar yang mempertimbangkan untuk belajar di universiti.

"Apabila saya melihat iklan-iklan ini mendakwa ijazah mereka mendapat tauliah dan diiktiraf secara global walaupun tanpa akreditasi, saya benar-benar merasa tidak berdaya.

"Pelajar yang datang ke Malaysia dari seluruh dunia untuk melanjutkan pengajian tinggi yang berkualiti dapat dimanipulasi dengan mudah oleh iklan semacam ini.

"Dan setelah tamat pengajian, mereka mungkin akan memperoleh ijazah yang tidak diiktiraf di peringkat tempatan dan global," katanya.

[Baca berita penuh]