Skip to main
Logo Malaysiakini

MB Kedah nafi beri projek kepada syarikat 'dalam siasatan' SPRM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan sebuah NGO bahawa dia telah menganugerahkan projek membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kepada sebuah syarikat yang dikatakan masih dalam siasatan SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sebaliknya, dia berkata bahawa projek itu diberikan kepada syarikat swasta itu setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Tidak ada isu. Saja dia orang tidak ada kerja saja. Kita buat semua proses yang perlu.

"KXP ini dibuat secara pelaburan swasta. Bukan dana kerajaan. Siapa ada duit dan kepakaran yang disyaratkan bolehlah terbabit," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan NGO dikenali Pertubuhan Peneraju Insan yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Setiausaha NGO itu Indrani Selvakumar dalam laporannya mendakwa syarikat terbabit disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) sejak tahun 2017 lagi.

Selain laporan SPRM, dia juga membuat laporan polis agar menyiasat pemberian kontrak tersebut.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut berkongsi sepucuk surat SPRM kepada Malaysiakini sebagai bukti bahawa syarikat swasta itu bebas daripada sebarang siasatan.

Surat yang dikatakan itu bertarikh November 2020 itu, ditulis oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu Azam Baki kepada Pengarah SPRM Pulau Pinang Lim Bee Kean.

Menurut Azam dalam surat itu: "hasil semakan mendapati tiada tohmahan dan maklumat yang disiasat berkaitan dengan syarikat tersebut."