Tak perlu 'layanan kayangan' di masjid - Ahmad Marzuk
Pihak pengurusan masjid diminta agar tidak membeza-bezakan layanan kepada individu atau kumpulan tertentu sebaliknya melayan sama rata jemaah yang hadir untuk menunaikan solat di masjid.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata layanan ‘kayangan’ itu tidak seharusnya berlaku dan pihaknya sedang mengenal pasti lokasi seperti dalam video yang tular di laman sosial semalam.
Video berkenaan memaparkan individu dikatakan kenamaan memasuki masjid tanpa menunggu giliran dan ia mengundang kecaman warga maya yang mempersoal wujudnya dua darjat antara orang kenamaan dan rakyat biasa.
“Pihak yang berhormat menteri agama sendiri telah pun meminta dan memohon penjelasan daripada pihak masjid khususnya di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim dan insya-Allah dalam tempoh sehari dua lagi perkara ini kita akan selesaikan.
“Saya sendiri pun sebenarnya apabila ke masjid saya beratur, paling penting yang mahu ke masjid perlu pergi awal dan ambil tempat sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program pembahagian sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada 25 pengayuh beca menerusi Program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli: Musaadah Yadim-Bank Islam di Dataran Muhammadi, di Kota Bharu hari ini.
Ahmad Marzuk berkata selain memastikan SOP dipatuhi, pihaknya turut mengingatkan pengurusan masjid supaya mempunyai budi bicara dalam menentukan kehadiran jemaah dan tidak hanya melayani kumpulan tertentu.
Beliau berkata pihaknya sentiasa memperbaru prosedur operasi standard (SOP) membabitkan kehadiran jemaah di masjid.
“SOP jemaah di masjid sekarang masih lagi terhad iaitu dengan hanya jumlah minimum. Kerajaan memandang serius perkara ini dan kita akan sentiasa memperbarui SOP mengikut kesesuaian.
“Kadar jangkitan wabak Covid-19 juga menjadi antara pertimbangan untuk kita perbarui SOP bagi membenarkan lebih ramai jemaah dapat hadir ke masjid, namun paling penting sekarang kadar imuniti kelompok di negara ini perlu dicapai terlebih dahulu,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai