Skip to main
Logo Malaysiakini

2,593 pelajar sekolah di Labuan mula divaksin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seramai 2,593 pelajar berusia 16 dan 17 tahun di pulau bebas cukai ini mula menerima vaksin Covid-19 hari ini sebagai persediaan pembukaan semula sekolah pada 3 Okt ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata vaksinasi itu akan dilaksanakan di dua pusat pemberian vaksin (PPV) sedia ada iaitu di Kompleks Darul Kifayah dan dewan Kolej Matrikulasi Labuan (KML).

“Ketika kita menuju pencapaian 100 peratus imuniti kelompok terhadap wabak Covid-19, kita tidak seharusnya membiarkan anak-anak yang masih bersekolah ketinggalan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Ini juga usaha kami untuk mengurangkan kemungkinan penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan guru di sekolah apabila ia dibuka semula (secara berperingkat) bulan depan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata program vaksinasi itu akan diadakan selama empat hari dengan fasa pertama memberi keutamaan kepada pelajar sekolah sebelum menumpukan kepada remaja yang tidak bersekolah.

Dr Ismuni berkata fasa kedua membabitkan 8,225 pelajar berusia 12 hingga 15 tahun akan bemula minggu hadapan selama dua minggu.

“Kami juga menerima pelajar yang ingin jumpa terus ke PPV yang mungkin terlepas pandang dan tidak tersenarai dalam fasa pertama,” katanya.

Pada 15 Ogos lepas, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata sekolah akan dibuka semula pada 3 Okt secara berperingkat di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula dengan pelajar yang perlu menduduki peperiksaan iaitu Tingkatan Lima dan Enam.

Labuan mempunyai 17 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah dengan 99 peratus guru telah menerima vaksin lengkap.

- Bernama